NASA Cipta Robot ‘Lebah’ Baiki ISS

MOUNTAIN VIEW – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) bakal menggunakan robot ‘lebah’ dikenali sebagai Astrobee untuk kerja-kerja membaik pulih Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) kelak.

Robot itu dihasilkan dan diuji di Pusat Penyelidikan Ames NASA di sini sejak beberapa tahun lalu dengan reka bentuknya mengambil inspirasi daripada robot droid yang digunakan watak Luke Skywalker berlatih pedang lightsaber dalam filem Star Wars: A New Hope.

“Manusia hanya boleh melakukan sesetengah tugas di angkasa lepas. Selebihnya boleh ditinggalkan kepada robot. Untuk menjimatkan masa angkasawan di ISS, kami akan menghantar tiga robot pembantu ke stesen tersebut,” kata seorang jurucakap NASA.

Setiap robot Astrobee tersebut dilengkapi kamera tersendiri bagi membolehkannya bergerak secara berdikari tanpa melanggar objek lain malah boleh dipasang lengan robotik tambahan sekiranya perlu membantu membawa kargo atau menjalankan eksperimen lain.

Reka bentuk Astrobee mula dipaparkan dalam laman web rasmi NASA pada Oktober lalu menunjukkan sebuah kiub robotik yang setiap sudutnya bersaiz 30.5 sentimter tinggi, lebar dan panjang. Astrobee akan dihantar ke ISS tahun ini tetapi tarikhnya belum ditetapkan. – Agensi

Loading...