Nama Jho Low Diarah Gugur Dari Laporan Akhir 1MDB

PUTRAJAYA — Perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB). diarah digugurkan dalam penyediaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Menurut Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad, perkara itu diarahkan bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Feb 2016 atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

Madinah berkata beliau telah menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamad dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.

“Laporan akhir Pengauditan 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan kepada Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu Madinah mendedahkan beberapa insiden melibatkan arahan supaya perenggan tertentu digugurkan atau dipinda.

Berdasarkan kronologi yang disediakan pasukan Audit 1MDB Jabatan Audit Negara Malaysia, beliau berkata Shukry pada 20 Feb 2016, telah meminta pasukan audit itu untuk mengemukakan laporan akhir audit 1MDB untuk dibincangkan bersama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya dalam satu mesyuarat dengan Najib pada 22 Feb 2016 di pejabat Perdana Menteri, Najib telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguatkuasa.

Sehubungan itu, pembentangan laporan tersebut kepada PAC yang dijadualkan pada 24 Feb 2016 telah ditangguhkan kepada 4 Mac dan 7 Mac 2016, kata Madinah.

Beliau berkata mesyuarat itu turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa, Shukry dan bekas Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Ambrin Buang.

Madinah seterusnya berkata pada 23 Feb 2016, dalam mesyuarat di pejabat KSN ketika itu, pasukan Audit 1MDB telah dimaklumkan bahawa kerajaan telah mengkategorikan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebagai satu krisis.

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Ali, Shukry dan Ambrin, kata beliau.

Laporan akhir audit 1MDB dibincangkan pada 24 Feb dan hasil perbincangan itu, beberapa perenggan lagi dalam laporan berkenaan telah diarah digugurkan dan dipinda.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Ali, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan IMDB Arul Kanda Kandasamy, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas setiausaha sulit kanan kepada KSN dan bekas pengarah audit.

Madinah berkata pada 25 Feb 2016, pasukan Audit 1MDB diarahkan oleh Ali untuk menghadiri mesyuarat di pejabatnya bersama dengan Arul Kanda bagi meneruskan perbincangan mengenai laporan itu yang mana beberapa lagi penemuan yang dilaporkan telah digugurkan dan dipinda.

Katanya pada 26 Feb, Shukry telah mengarahkan bekas pengarah audit untuk menggugurkan perenggan berkaitan Jho Low dan pada 28 Feb bekas setiausaha sulit kanan kepada Ali telah meminta laporan yang dipinda itu diserahkan kepada beliau.

Madinah berkata pada 29 Feb 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang telah dipinda telah diserahkan kepada Ali.

Pada 1 Mac 2016, Ali kemudian telah mengarahkan pasukan Audit 1MDB sekali lagi hadir ke pejabat beliau untuk membincangkan semula laporan akhir yang telah dipinda.

“Semasa sesi ini bekas presiden dan CEO Kumpulan IMDB (Arul Kanda) hadir dan beliau telah menyemak semula laporan tersebut secara terperinci bersama pasukan audit dan meminta dibuat beberapa perubahan (gugur/pinda) lagi kepada laporan itu,” kata Madinah.

Madinah berkata pada 2 Mac 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah dicetak dan seterusnya pada 3 Mac dua naskah laporan itu diserahkan bekas setiausaha sulit kanan kepada Ali.

Katanya pada 4 Mac dan 7 Mac 2016 Ambrin membentangkan laporan itu di hadapan PAC – BERNAMA

Loading...