Nak Jadi Doktor Saraf

PELAJAR cemerlang yang memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 diterima ke program asasi di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gambang di sini, semalam.

Abdul Manaf Abdul Aziz, 18, antara 3,604 penuntut yang diterima mengikuti program asasi bagi mengejar impiannya bergelar doktor saraf dan otak.

“Syukur Alhamdulillah impian saya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti menjadi kenyataan.

“Berkat sokongan dan doa semua pihak, akhirnya pelajar miskin seperti saya berjaya melangkahkan kaki ke menara gading.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita yang diimpikan untuk membela nasib keluarga,” katanya yang berasal dari Kampung Temai Tengah, Pekan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah bekas pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad (SHAH), Pekan berkenaan yang menunggu keputusan permohonan biasiswa kerajaan dan swasta untuk membolehkannya menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Berita mengenai impian pelajar berkenaan yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan disiarkan media akhir Mac lalu, mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Lebih menarik, anak ketiga daripada lima beradik itu dipilih antara tujuh pelajar di negeri ini yang menerima Biasiswa Kecemerlangan Pendidikan Menteri Besar Pahang dan menerima pelbagai bantuan serta kemudahan secara percuma.

Sementara itu, Pengarah UIAM kampus Kuantan, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus berkata, kemudahan lengkap yang ada di pusat asasi berkenaan sudah dibuka sepenuhnya tahun ini dan di harap dapat memberi keselesaan kepada pelajar.

“Kita ingin menjadikan Pusat Asasi UIAM kampus Gambang sebagai sebuah pusat pengajian yang serba moden serta dapat memberi suasana pembelajaran yang selesa serta memuaskan kepada penuntut.

“Pihak pengurusan UIAM memberi jaminan akan segera membaiki kelemahan ada demi kepentingan penuntut,” katanya. – myMetro Online

Loading...