San Fransisco Gempar Najis Tepi Jalan

BUSUK… Penduduk dan pihak berkuasa bandar raya San Francisco dikejutkan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab meninggalkan bungkusan najis seberat sembilan kilogram di tepi jalan.

Menurut laporan akhbar San Francisco Chronicle, bungkusan besar najis dengan bau yang amat tidak menyenangkan itu ditinggalkan di tepi Jalan Polk and Cedar kelmarin.

Menurut jurucakap Jabatan Perbandaran Awam, bungkusan najis itu sudah ‘diuruskan’ tetapi tiada ujian DNA dilakukan untuk mengetahui sama ada ia najis manusia atau haiwan.

“Kami tidak tahu pemiliknya. Mungkin najis manusia, mungkin juga najis haiwan. Mungkin juga ia dikumpul dari tepi jalan dan diletak dalam bungkusan itu,” katanya kepada akhbar itu.

Bungkusan mengandungi najis itu adalah aduan terbaru orang ramai membabitkan masalah najis.

Aduan seumpama itu di San Francisco, dilapor melonjak sehingga 400 peratus sejak satu dekad lalu dalam tempoh antara 2008 hingga tahun ini.

Pada 2017 saja, 21,000 aduan diterima, sebahagiannya daripada ribuan gelandangan di seluruh bandar raya California itu yang tidak ada akses kepada bilik air.

Bagaimanapun, bungkusan seberat itu yang diletak di tepi jalan berkenaan adalah sesuatu yang amat luar biasa.-Agensi

Loading...