Najib Turun, Ringgit Turun Lebih Teruk Berbanding Baht!

SINDIR… Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa nilai mata wang ringgit kini catat kadar paling rendah dalam sejarah berbanding jirannya, baht Thailand.

Menurut ahli Parlimen Pekan dan bekas Menteri Kewangan itu, nilai ringgit merosot teruk selepas Pilihan Raya Umum PRU) Ke-14 pada 9 Mei tahun lalu sehingga kini mencecah 100 baht bersamaan RM13.15.

Sambil berkongsi graf perbandingan kedua-dua mata wang itu sejak 2017, Najib menyindir pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang suatu masa dahulu sering kritik kerajaan pimpinannya ekoran kejatuhan nilai ringgit,

“Laungan PH pada suatu masa dahulu ialah ‘Najib turun, Ringgit naik’. Saya dah turun dan (Lim) Guan Eng sudah naik (jadi menteri kewangan), tapi ringgit turun dengan lebih dahsyat lagi. Apa alasan Guan Eng?” soalnya.

Bekas Presiden UMNO dan mantan Pengerusi Barisan Nasional itu berkata demikian dalam nada sindiran menerusi hantaran menerusi akaun sosial Facebook miliknya yang tular diperkatakan netizen hari ini.

Kata Najib, tiga tahun dahulu, isu nilai ringgit merosot berbanding mata wang Thailand dimainkan oleh jentera kempen PH walaupun ia berikutan kejatuhan harga minyak dunia sehingga 80 peratus.

Beliau selanjutnya menyelar PH yang pada ketika itu memainkan propaganda kononnya peniaga Thailand tidak mahu terima mata wang Malaysia terutama di kawasan sempadan kedua-dua negara tersebut.

“Seperti ditunjuk di graf ini, nilai ringgit semakin memulih berbanding mata wang Thailand sebelum PRU-14. Namun, nilai ringgit berbanding baht jelas bertukar hala dan terus merosot selepas PRU-14.

“Ia sehingga mencecah penanda 100 baht bersamaan RM13.00 buat kali pertama. Ini pada masa harga minyak dunia sudah pulih dan kini dua setengah kali ganda berbanding tiga tahun dahulu,” katanya. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...