Najib Terima Kunjungan Pemimpin Utama PAS

22

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan beberapa pemimpin PAS di kediamannya, malam tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkongsi gambar beliau di Facebook miliknya bersama dengan empat pemimpin PAS tersebut iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Saya ada tetamu lewat malam tadi. Tidak perlulah saya mengulas panjang.

“Sahabat sejati bukan sahaja mereka yang bersama ketika susah atau senang tetapi juga mereka yang sentiasa mendoakan kita. Sahabat yang sejati sukar ditemui.

“Jika di sisi, saya hargai dan saya tahu itulah anugerah Allah SWT,” ujarnya menerusi hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Sementara itu Abdul Hadi dalam satu kenyataan semalam menyatakan, bahawa PAS mengambil sikap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Menurut beliau, PAS menghormati proses mahkamah yang berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang didukung oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).


“PAS yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya.

“Walau dalam apa keadaan sekali pun, PAS menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) di samping terus memperkukuhkan kerajaan PN,” katanya.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah terhadap tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib yang menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah. – Sinar Harian