“Najib Tak Bawa Pakaian Rasmi Pahang, Itu Masalah Dia” – Mujahid

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf menafikan berlaku campur tangan Pejabat Perdana Menteri berhubung tempat duduk Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara Selasa lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tidak timbul sama sekali soal perubahan itu kerana bekas perdana menteri itu telah dimaklumkan lebih awal beliau akan duduk di barisan kerabat Pahang.

“Bukan soal kerusi dia dialih. Kita memang sudah tetapkan tempat duduk Najib dan beliau pula memberi alasan tidak bawa pakaian adat rasmi Pahang. Itu masalah dialah.

“Jadi, tidak tidak timbullah kita alih, kita nafikan kita alih kerusi dia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Logo Karnival Rahmah 2019 di Auditorium Jakim, Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.

Semalam, Najib menjelaskan spekulasi mengenai ketidakhadiran beliau pada majlis istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara.

Menurut bekas perdana menteri itu, ketidakhadirannya bukan disebabkan kekeliruan, sebaliknya, beliau menerima panggilan pada jam 6.30 pagi bahawa tempat duduknya telah ditukar.

Jelasnya lagi, selepas menerima panggilan itu beliau tidak sempat mengambil pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang yang berada di Pekan, Pahang.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan kementeriannya hendak melakukan rombakan struktur bakal haji yang menunggu giliran, Mujahid berkata, ia masih dalam peringkat pemerhatian.

“Cadangan itu dalam kerangka yang lebih besar iaitu rombakan iaitu proses kita untuk mengurangkan tempoh penungguan yang lama. Setakat ini belum ada apa-apa yang rasmi lagi,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

Loading...