Najib Sindir Tony Isu Naik Margin Laba Stesen Minyak

SINIS… Datuk Seri Najib Tun Razak pulang paku buah keras kepada Tony Pua apabila dedah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menaikkan margin keuntungan stesen minyak.

Malahan ujar bekas perdana menteri tersebut dalam nada sindiran terhadap Ahli Parlimen Damansara dari DAP itu, keadaan ini jauh berbeza dengan apa yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini.

Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu persoal sama ada tindakan tambah margin keuntungan stesen minyak seperti yang diputuskan oleh PH semalam adalah merupakan langkah jaga kepentingan syarikat minyak atau rakyat marhaen.

Persoalan itu sekali gus tempelak kenyataan Tony sebelum ini bahawa tindakan kerajaan BN sebelum ini yang tetap harga petrol di bawah harga runcit hanya merugikan rakyat dan seolah-olah cuba lindungi laba syarikat minyak.

“Tentu Tony tahu bermula hari ini, harga runcit petrol ditetapkan oleh kerajaan PH dan juga akan diumum setiap minggu. Bukan itu sahaja, tentu Tony ambil tahu bahawa kerajaan Ph telah naik margin keuntungan stesen minyak.

“Ia sebenarnya satu langkah yang kerajaan BN semasa era saya pun tidak pernah buat. Bukan setakat tahu tetapi Tony sendiri mungkin antara mereka yang menyumbang kepada keputusan penetapan harga minyak tersebut.

“Langkah itu jaga kepentingan syarikat minyak ataupun kepentingan rakyat? Rakyat korban atau tidak?,” soal Najib yang juga mantan menteri kewangan menerusi satu hantaran dalam akaun sosial Facebook miliknya hari ini.

Bahkan melalui hantaran tersebut juga, Najib menyorot semula kenyataan Tony seperti yang pernah disiarkan menerusi portal organ DAP, Roketkini milik parti tersebut sendiri bertarikh 23 Mac 2017.

Kenyataan itu telah dakwa konon dasar kerajaan BN enggan membenarkan syarikat pengedar bahan api bersaing dengan menetapkan harga petrol di bawah harga runcit yang ditentukan kerajaan itu hanya merugikan rakyat.

Menurut Tony, langkah kerajaan BN pada masa itu seolah-olah cuba melindungi keuntungan syarikat minyak dan gas daripada tanggung kerugian berterusan dengan sengaja mengorbankan kepentingan rakyat jelata.

Sementara itu, Najib secara sinis menyifatkan keputusan kerajaan PH supaya penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.

“Bukan main seronok DAP hari-hari hentam setiap keputusan kerajaan BN dahulu untuk menghasut rakyat dan menanam kebencian. Kini, hampir semua yang mereka (PH) buat adalah sama dengan usaha kerajaan BN.

“Kecuali hari pengumuman harga harga minyak yang tiba-tiba ditukar daripada hari Rabu kepada hari Jumaat, mungkin hari Jumaat dipilih dan bukan Rabu kerana DAP konon mahu tonjol imej PH yang prihatin rakyat?

“Mungkin hari Jumaat dipilih kerana lebih senang untuk rakyat beratur pada tengah malam Jumaat memandangkan lebih ramai orang bercuti pada hari Sabtu!” kata Najib dalam nada sindiran. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...