Najib Sindir Hanya Tony Pua Dapat Hapus Tol

SINIS… Datuk Seri Najib Razak menyatakan hanya Tony Pua sesuai ditugaskan cari jalan hapus tol lebuh raya dalam usaha tunai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang gagal dilaksanakan.

Bekas perdana menteri yang juga mantan menteri kewangan itu dalam nada sindiran turut mendakwa bahawa Tony dan DAP bukanlah penipu bagi dapat undi rakyat percaya mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Sekarang, saya sebagai mana juga pengguna lebuh raya yang lain terpaksa membayar tol. Oleh itu, saya juga berasa gembira jika semua kutipan tol lebuh raya dapat dihapuskan seperti mana janji manifesto PH sendiri.

“Apatah lagi, syarikat konsesi-konsesi tol berkenaan bukan kroni mahupun rakan-rakan saya tetapi mereka adalah daripada era seorang perdana menteri zaman sebelum saya,” kata Najib menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, bekas Pengerusi BN itu berkata ketika menjadi perdana menteri selama sembilan tahun, beliau langsung tidak pernah sekali pun benar kenaikan kadar tol di mana-mana lebuh raya PLUS.

“Tetapi, harus diketahui bahawa kerajaan saya juga menghadapi kesukaran pada ketika itu untuk tidak membenarkan konsesi tol yang dimiliki pihak swasta daripada cuba menaikkan kadar kutipan.

“Ini kerana pihak kerajaan terikat dengan perjanjian konsesi yang pernah dirunding dan dimeterai semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang ke-4,” ujarnya.

Najib bagaimanapun berkata, kerajaan yang beliau terajui pernah mengumumkan untuk menghapuskan semua konsesi tol di negara ini tetapi pihak kerajaan perlu menyediakan kos sebanyak RM231 bilion.

Sebaliknya Tony telah menuduh kerajaan Barisan Nasional sebagai penipu apabila menyatakan bahawa kos sebenar penghapusan tol hanyalah RM25 bilion sahaja dan bukan sebagaimana yang diumum beliau sebelum itu.

Ironi semalam, Menteri Kerja Raya, Baru Bian memberitahu Parlimen bahawa adalah sangat sukar untuk kerajaan hapus semua tol seperti yang dijanjikan PH sendiri dalam manifesto kempen ketika PRU ke-14.

Ini kerana kos untuk berbuat demikian ialah sebanyak RM400 bilion dan ia jauh lebih tinggi daripada apa yang telah kerajaan BN umumkan dahulu. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...