Najib Sindir Chef Wan ‘Dirasuk Syaitan’

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menyindir Datuk Redzuawan Ismail bahawa Tokoh Ikon Felda itu telah dirasuk syaitan.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Redzuawan atau lebih dikenali sebagai Chef Wan itu akan meminta maaf susulan mengeluarkan kenyataan di akaun Instagram mengenai golongan peneroka Felda.

“Ikon Felda bersuara. Dia kata peneroka Felda adalah orang malas serta suka berkahwin dua atau tiga. Selepas berkahwin pula, peneroka ‘membiak seperti kucing’.

“Tak apa, nanti dia akan meminta maaf dengan alasan bahawa dia sekali lagi dirasuk syaitan,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya, hari ini.

Tambah Najib, Chef Wan turut menggelarkan peneroka Felda sebagai ulat-ulat sampah yang hanya tahu ambil duit kerajaan.

“Pendapat seterus dia, saya tak sampai hati nak mengulas, ‘Golongan tidak bersyukur ini dilahirkan sebagai sampah dan mereka akan kekal sampai bila-bila sebagai sampah’,” katanya.

Januari lalu, Chef Wan memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan kontroversi mahu menampar Najib.

Tukang masak terkenal itu mengakui kesilapannya kerana membuat kenyataan dalam keadaan marah.

“Ya, saya mengaku saya silap bila dirasuk syaitan dan naik marah!” katanya di laman Instagramnya.

Semalam, Chef Wan yang merupakan generasi kedua Felda berjaya membawa nama negara ke seluruh pelusuk dunia menerusi masakan dipilih sebagai Tokoh Ikon Felda pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar. Rompin, Pahang. – UTUSAN ONLINE

Loading...