Najib Sakit Mata, Mahkamah Tangguh Bicara Kes SRC

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn. Bhd. selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengalami jangkitan mata (conjunctivitis).

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah tiada pilihan lain selain menangguhkan kes itu.

Terdahulu, semasa prosiding peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau difahamkan Najib mengalami kesakitan mata itu sejak semalam dan telah diberi sijil cuti sakit bermula hari ini hingga Jumaat.

“Perkara itu juga sudah disahkan oleh pakar mata yang memberikan Najib sijil sakit selama tiga hari, bermula hari ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram setuju kes itu ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan mata Najib.

“Saya ditunjukkan gambar Najib dan ia kelihatan teruk pada kedua-dua matanya. Penyakit mata ini boleh berjangkit dan kita semua mungkin boleh mendapat jangkitan yang sama,” katanya.

Berikutan itu mahkamah menetapkan sebutan semula kes Isnin depan.

Sepatutnya prosiding hari ini mendengar keterangan saksi terakhir iaitu Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54.

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Loading...