Najib, Rosmah Belum Tarik Semula Saman Rafizi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor belum menarik balik kes saman yang dikeluarkan mereka terhadap Rafizi Ramli atas dakwaan memfitnah.

Sebaliknya, peguam yang mewakili mereka, Nor Emelia Mohd. Ishezam berkata, masih belum ada keputusan muktamad mengenai penarikan semula saman terhadap Naib Presiden PKR itu.

Justeru, Nor Emelia menafikan kenyataan Rafizi yang dibuat melalui laman sosial Twitter miliknya yang konon mengatakan bahawa tindakan saman tersebut telah ditarik balik setakat tarikh kenyataan Rafizi dibuat.

“Walau bagaimanapun, peguam pihak masing-masing masih berbincang mengenai perkara ini dan belum ada apa-apa lagi keputusan muktamad yang telah dicapai berhubung perkara tersebut,” ujar Nor Emelia dipetik sebuah akhbar tempatan.

Sekadar makluman, kes saman bekas perdana menteri dan isterinya terhadap Rafizi telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pihak-pihak yang terlibat perlu memfailkan dokumen berkaitan sebelum perbicaraan penuh didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail.

Dalam penyata tuntutan, Najib dan Rosmah mendakwa Rafizi yang dinamakan sebagai defendan pertama telah memberi ucapan berbaur fitnah terhadap mereka dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, di sini pada 22 November 2014.

Ucapan berkenaan telah dirakamkan oleh Media Rakyat dan dimuat naik oleh Chee Kong yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam laman sosial YouTube dan di laman sesawang mediarakyat.net di bawah tajuk, ‘Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak’.

Saman terhadap Rafizi difailkan pada 16 Mac 2015 oleh Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, peguam yang mewakili Najib dan Rosmah.

Semalam, Rafizi memuat naik satu entri di laman Twitter miliknya mengesahkan bahawa Najib dan Rosmah telah menarik balik saman terhadapnya berhubung isu penghapusan subsidi dan tuduhan fitnah cincin Rosmah.

“Peguam saya, Razlan Hadri baru telefon memaklumkan DS @NajibRazak dan DS Rosmah Mansor telah menarik balik saman terhadap saya berkenaan isu penghapusan subsidi, cincin dan lain-lain.

“Ini kes yang sebelum ini banyak menuduh saya kononnya berkata ‘saya bergurau saja’,” katanya di Twitter, semalam. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...