Najib Persoal Tiada Pemimpin PH Tuduh Dirinya Berbohong

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan ketiadaan mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tampil menyangkal tuduhan-tuduhan yang dibuatnya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, awal minggu lalu.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Najib berkata tuduhan-tuduhan yang diucapkannya ketika berbahas itu adalah berat.

Seharusnya tegas beliau, pihak kerajaan PH perlu meminta tindakan diambil terhadapnya sekiranya tuduhan-tuduhannya itu dianggap mengelirukan dewan.

“Saya sudah bawa ke Parlimen hari itu melalui perbahasan saya. Saya tuduh bahawa kerajaan PH telah naikkan hutang negara sebanyak RM90 bilion (tidak termasuk RM82 bilion dijarah dari Petronas) sejak tahun 2018 sehingga hari ini.

“Saya juga tuduh dan namakan secara satu persatu aset-aset negara bernilai berpuluh-puluh bilion Ringgit yang telah dan sedang dijual oleh kerajaan PH. Saya tuduh lagi bahawa ekonomi sekarang sudah lembab selepas PH menang sehingga Malaysia kini digelar ‘sole loser’ di Asia.

“Apa kesudahan itu? Tak cukup berat ke, tuduhan-tuduhan ini? Adakah mana-mana Menteri PH berani tuduh saya telah membohong dalam Dewan Rakyat dan meminta tindakan diambil terhadap saya kerana saya mengelirukan dewan?

“Adakah mana-mana Menteri PH mengeluarkan kenyataan atau penjelasan untuk menyangkal saya atau tuduh saya tidak betul sejak saya bawa ke Parlimen?

“Kenapa tidak ada?” soal ahli Parlimen Pekan itu lagi. – Agenda News

Loading...