Najib Mungkin Akan Dipanggil SPRM Isu ‘Land Swap’

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berhubung isu ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, buat masa ini, pihaknya mahu mengumpulkan bukti terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memanggilkan bekas Perdana Menteri itu.

“Beliau (Najib) juga akan dipanggil untuk kes berkenaan. Kami tidak nafi beliau juga akan dipanggil.

“Beliau juga mungkin terbabit dalam hal ini. Buat masa ini, beliau belum dipanggil…kami sedang kumpul bukti. Kami perlu ambil keterangan yang lain dahulu dan akan panggil beliau apabila sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar berhubung tindakan undang-undang terkini 1MDB di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Dalam perkembangan kes sama, Azam turut mengesahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan semalam.

Katanya, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan hadir ke SPRM Ahad ini bagi memberi keterangan berhubung kes sama.

SPRM sebelum ini dilaporkan akan memanggil bekas Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin selepas Hari Raya Aidilfitri bagi membantu siasatan berhubung perjanjian pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan.

Pada Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Loading...