Najib Mohon Dapatkan Salinan Klip Audio Didengar 24 Februari

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Februari untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan dan memeriksa semua salinan sebenar rakaman audio perbualan berdurasi 45 minit yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu sidang media baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Pihak pemohon (Najib) memfailkan notis usul pada 15 Januari lalu untuk mendapatkan salinan semua rakaman audio yang didedahkan semasa sidang media yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya baru-baru ini,” katanya kepada media selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som hari ini.

Beliau yang mewakili pendakwaan selaku responden dalam permohonan itu berkata, mahkamah turut menetapkan 6 Februari bagi pihak responden memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu.

Najib dalam permohonannya memohon perintah mahkamah supaya pihak pendakwaan atau SPRM atau mana-mana entiti lain yang mempunyai pemilikan, untuk membenarkan pemohon memeriksa salinan sebenar rakaman audio yang diserahkan kepada SPRM pada sidang media itu.

Pada 8 Januari lalu, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn. Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang membabitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Loading...