Najib Gesa KWSP Mudahkan Pencarum Hadapi Masa Susah

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memudahkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian wang mereka untuk menghadapi kesusahan akibat wabak koronavirus.

“KWSP patut menimbangkan langkah memberi kelonggaran kepada pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada baki akaun 2 simpanan mereka pada masa yang amat susah sekarang,” kata Najib di akaun Facebook.

Sebagai ganti rugi dan bagi memulihkan simpanan usia tua pencarum yang terjejas, Najib menyarankan kerajaan memberi peluang kepada KWSP untuk mendapat projek khas yang memberi pulangan besar.

“Seperti apa saya lakukan ketika menjadi perdana menteri dengan projek Battersea, Kwasa Damansara dan pampasan tahunan kepada PLUS,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan perintah kawalan pergerakan untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan budaya serta penutupan sekolah, kerajaan dan premis perniagaan bermula esok hingga akhir bulan ini.

Hanya perkhidmatan penting dan pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan terus beroperasi. – FMT

Loading...