Najib Fail Permohonan Tangguh Perbicaraan Selasa Ini

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kesnya berkaitan dana SRC International Sdn. Bhd. yang dijadualkan bermula Selasa ini.

Peguam Najib, Harvinderjit Singh memberitahu pemberita di sini permohonan penangguhan itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan bersama-sama sijil perakuan segera.

Beliau memohon menangguhkan perbicaraan tujuh pertuduhan yang dihadapinya berkaitan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwa raya menarik balik sijil pemindahan.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menarik balik sijil bagi memindahkan tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib berhubung dana SRC International dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan semalam untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Pada 4 Julai tahun lepas, ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkandana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lepas, beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama daripada dana yang sama. – BERNAMA

Loading...