Najib Dedah PH Guna 9 Isu ‘Serang’ Tok Mat

REMBAU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kini giliran bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ‘diserang’ oleh Pakatan Harapan (PH) seperti yang pernah dialaminya.

Menurut beliau, PH melakukan serangan peribadi ke atas Timbalan Presiden UMNO itu bagi membunuh karakter calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tersebut.

Dakwanya, beliau dimaklumkan terdapat sebanyak sembilan isu akan dilancarkan oleh PH ke atas Mohamad dalam pilihan raya berkenaan.

“PH ini menipu sebelum PRU (Pilihan Raya Umum ke-14), selepas menang tipu lagi. Sebelum menang salahkan BN, dah hampir setahun menang pun salahkan BN. Buatlah kerja. Tadbirlah negara.

“Tak usahlah serang karakter (lagi). Tok Mat (Mohamad) ini pun dah kena serang dah. Saya dah tahu Tok Mat kena serang maka saya telefon dia. Saya kata jaga-jaga Tok Mat. Dia (PH) ada sembilan isu nak ‘tembak’ Tok Mat. Saya dah dapat info dah,” katanya semasa berceramah di Kampung Kanchong di sini malam tadi.

PH dalam kempen PRK DUN Rantau mendakwa Mohamad melanggar undang-undang perbankan kerana memindahkan wang sebanyak RM10 juta ke London melalui pengurup wang pada tahun 2008.

Calon BN itu turut dituduh memiliki rumah banglo di Seremban 2, Negeri Sembilan yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau, namun Mohamad menafikan semua tuduhan terbabit.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menjelaskan, Mohamad sebelum ini merupakan seorang tokoh korporat di peringkat Asia, maka tidak salah untuk beliau membeli harta seperti apartment atau banglo.

Kata beliau, tidak salah juga untuk Mohamad memiliki sedikit harta sedangkan ada anak individu lain memiliki harta berbilion ringgit seperti yang pernah didakwa oleh seorang pemimpin politik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Anak orang lain harta berbilion. Orang itu sebut ‘biliun’ dan yang cakap ini bukan saya, tetapi pemimpin PKR,” katanya.

Justeru, katanya, beliau meminta penyokong BN tidak berasa susah hati dengan serangan karakter yang dilakukan oleh PH ke atas Mohamad.

Sementara itu, beliau berharap tiada pihak dalam BN menolak penyatuan ummah yang sedang diusahakan oleh UMNO dan Pas kerana itu salah satu perintah Allah S.W.T.

“Bila kita ikut perintah Allah, Allah akan memberi kemenangan kepada kita,” katanya. – K! ONLINE

Loading...