Najib Dan Rosmah Akan Fail Permohonan Batal Saman Deepak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pengarah syarikat Carpet Raya Sdn Bhd, J.R. Deepak Jaikishan dalam tuntutan ganti rugi berjumlah RM676 juta berhubung dakwaan penipuan beberapa transaksi berpunca daripada konspirasi jual beli tanah.

Peguam David Mathews yang mewakili bekas perdana menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berkata, permohonan untuk membatalkan saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum 7 Jan ini.

Mathews berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar di sini.

Katanya, hari ini kedua-dua anak guamnya telah memfailkan pernyataan pembelaan bagi saman tersebut dan hakim menetapkan 14 Jan ini untuk pengurusan lanjut kes berkenaan.

Sementara itu, peguam Irzan Iswat Mohd Nor yang bertindak bagi pihak Deepak memaklumkan bahawa dua lagi defendan yang dinamakan dalam saman berkenaan iaitu syarikat Boustead Holdings dan Bakti Wira Development juga telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.

Kedua-dua syarikat Boustead Holdings dan Bakti Wira Development diwakili peguam Kenny Chan.

Pada 12 Okt lepas, Deepak, 46, selaku plaintif menamakan bekas perdana menteri dan isteri, sebagai defendan pertama dan kedua manakala syarikat hartanah, Boustead Holdings Berhad defendan ketiga dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn. Bhd. defendan keempat.

Deepak mendakwa, beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn. Bhd. menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn. Bhd. Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja, Jajahan Petaling.

Deepak mendakwa pembayaran deposit RM13 juta telah dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Berhad dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia berjumlah RM72.5 juta oleh syarikatnya itu namun Awan Megah melalui Raja Ropiaah gagal dan enggan mengemukakan geran asal bagi tanah-tanah tersebut untuk didaftarkan pindah milik kepada Astacanggih.

Deepak mendakwa, akibat penipuan dan pengaruh tidak wajar defendan pertama dan kedua, Astacanggih terpaksa akur menjual 80 peratus (16 juta unit saham yang telah berbayar) daripada keseluruhan saham yang dimiliki olehnya dalam syarikat itu (Astacanggih) kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, defendan keempat.

Deepak berkata dari segi undang-undang tanah-tanah tersebut merupakan milik ekuiti plaintif menerusi Astacanggih semasa pihak plaintif merupakan pengarah, pemegang saham majoriti syarikat itu menandatangani perjanjian perolehan di antara syarikat plaintif dengan Awan Megah melalui Raja Ropiaah.

Sehubungan itu, Deepak menuntut daripada pihak defendan secara bersama atau berasingan ganti rugi am RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi berpanjangan RM26 juta. – BERNAMA

Loading...