Najib Cadang Wujudkan Program Pembiayaan Beli Saham

PASARAN saham Malaysia pada tahun ini pernah menjadi kedua paling corot dalam dunia pada tahun ini.

Biarpun masih tertinggal sedikit kenaikan selepas kerajaan bertukar pada bulan lepas, Bursa Malaysia masih ke-6 paling corot dalam dunia tahun ini.

Jadi saya percaya pasaran saham Malaysia adalah di bawah nilai (under valued) berbanding negara-negara lain pada ketika ini memandangkan ekonomi kita mula dibuka semula manakala harga komoditi keluaran Malaysia serta eksport barangan pembuatan negara masih kukuh.

Ini juga bermaksud kita ada peluang untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia turut terlibat bersama-sama dalam pemulihan ekonomi kita.

Pada ketika ini harga saham berada pada paras yang rendah, yang bermaksud ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding caj perkhidmatan sebenar bank.

Kadar cuma 1.9% setahun bagi Simpanan Tetap (FD) 3 tahun ketika ini manakala banyak saham-saham “bluechip” seperti Tenaga (4.1%), Maybank (5.6%) dan Top Glove (5.7%) diramal membayar dividen yang lebih tinggi.

Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan boleh memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70% daripada pembelian saham dengan kadar caj perkhidmatan sebenar sebanyak 3% bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang dibenarkan.

Ini samalah seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Rakyat mampu membina kekayaan secara jangka masa panjang apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.

Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur (dengan izin we must make our stock market more dynamic, appealing and exciting).

Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuk menggantung sekali lagi dengan izin ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama 6 bulan seperti dilaksanakan tahun lepas untuk menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.

Kita juga perlu mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai. Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat-syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti-aktiviti perkembangan perniagaan mereka. Jadi, proses ini perlulah disegerakan dan dipermudahkan. – FB Najib Razak

Leave a Reply