Najib Cadang PAC Siasat Guan Eng

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mencadangkan PAC menyiasat dakwaan ‘rompakan’ RM150 bilion yang didakwa oleh Lim Guan Eng.

“Dan jika tidak benar, maka Bagan (Guan Eng) perlu diambil tindakan dan behenti menjadikan ucapan belanjawan tahunan seperti pentas politik,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.

Menurutnya, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Bagan menjadikan parlimen seperti pentas ceramah politik apabila mengeluarkan angka RM2.7 bilion untuk bayar hutang 1MDB dan SRC untuk tahun ini.

“Tetapi dalam ucapan bajet yang sama pula, dia mengesahkan bahawa projek Bandar Malaysia milik 1MDB diteruskan tetapi perolehan dari projek ini hanya akan diumum kelak.

“Kenapa tak sebut kerajaan PH telah jual sebahagian dari projek ini untuk harga RM7.41 bilion pada bulan April pula?

“Kos hutang, Bagan nak umum. Tapi hasil perolehan dan hasil pembangunan dari 1MDB dia tak mahu sebut pula,” katanya.

Menurut Najib, fakta nilai pembangunan projek Bandar Malaysia sebanyak RM140 bilion dan TRX RM40 bilion yang Guan Eng sendiri pernah sebut adalah antara aset paling baik dalam negara tidak pula disebut.

“Selepas itu, dia pula mengeluarkan angka RM150 bilion yang kononnya BN telah “curi”.

“Apakah yang ada dalam angka RM150 bilion? Kenapa hutang 1MDB RM32 bilion dengan aset-aset amat berharga ini tiba-tiba menjadi RM150 bilion pula?

“Walaupun Bagan pernah terbukti telah mengelirukan dewan dengan ucapan bahawa wang GST sebanyak RM19.2 bilion telah dirompak oleh BN, saya ingin memberi diabenefit of the doubt,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...