LUAHAN… “Saya berharap PH (Pakatan Harapan) tidak berpolemik politik sebaliknya mereka perlu tumpu dan cari jalan penyelesaian tuntas dalam soal masa depan peneroka Felda.”

Demikianlah gesaan secara terbuka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi satu sidang video live Facebook dari platform media sosialnya itu lewat semalam yang tular dalam kalangan netizen seluruh dunia.

Najib yang bersimpati nasib peneroka sekarang mendedahkan bahawa sepanjang pentadbirannya dahulu, Barisan Nasional (BN) buat pelbagai program kebajikan dan berharap mereka patut dapat lebih baik daripada kerajaan PH.

“Hakikatnya semasa kerajaan BN memerintah negara ini selama 60 tahun, aspek kebajikan peneroka skim tanah rancangan ini begitu dihargai dengan cukup sempurna sekali,” ujar beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Terdahulu, bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu memberitahu bahawa tujuan beliau membuat penjelasan hari ini kerana bimbang isu Felda akan diputarbelitkan oleh kerajaan PH dengan pelbagai alasan dan tohmahan.

“Apabila saya ambil alih jadi PM, saya sedar perkara ini (masalah peneroka) dan telah ambil keputusan dasar bersama Felda lancar program pembangunan semula dalam bentuk ganti pokok lama dengan tanaman semula.

“Kedua, saya turut tambah bantuan kebajikan para peneroka khususnya beri sumbangan dana untuk mereka tambah baik rumah Felda,” kata Najib merujuk kejayaan skim itu ubah kediaman penduduk kepada lebih moden.

Keputusan juga dibuat kerajaan BN dengan ambil alih hutang dan terbitan awam saham syarikat FGV untuk jana sejumlah dana yang membolehkan program tanaman semula dan kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Saya ingin tegaskan bahawa program ini telah dilaksanakan berjalan lancar dan sepanjang masa BN jadi kerajaan, langsung tidak ada masalah dari segi kelewatan pembayaran sara hidup bulanan sama sekali,” kata Najib.

Namun sejak kebelakangan ini, beliau dalam nada kesal mendedahkan berlaku kesan buruk apabila peneroka menerima pembayaran lewat sehingga sampai dua bulan daripada tarikh yang sepatutnya mereka terima.

“Kenapa ini berlaku? Ini kerana dua faktor. Pertama, harga sawit jatuh ketara antara RM1,700 hingga RM2,000 satu tan, keadaan kos pengurusan naik sehingga RM1,800 dan ini salah satu punca Felda alami aliran kewangan.

“Kedua, ia juga disebabkan dalam mereka kejar kemenangan ketika kempen PRU, PH telah menjanjikan dalam manifesto mereka konon akan hapuskan hutang peneroka dan kini mereka sudah tentu keberatan akan bayar balik.

“Apa yang saya kesal ialah langkah mudah PH dengan hanya menyalahkan kerajaan BN kononnya ada berlaku ketirisan. Saya hendak jelaskan apa juga tuduhan telah pun disiasat sewaktu pentadbiran saya lagi,” kata Najib.

Ia termasuklah dakwaan pihak pengurusan Felda pernah berbelanja besar dengan beli hotel mewah di luar negara kononnya menjadikan agensi tersebut kemudian mengalami masalah hutang besar untuk bantu peneroka.

“PH terlupa bahawa aset Felda berjumlah RM21 bilion dan hutang RM8 bilion itu pun dalam bentuk soft loan (pinjaman mudah) yang sebahagian besar RM8 bilion itu tampung perlaksanaan tanam semla berskala besar.

“Juga program penambahbaikan rumah-rumah peneroka generasi pertama,” kata Najib lagi ketika imbau rekod kewangan Felda diurus begitu baik ketika era BN dalam usaha bantu nasib peneroka. – Agensi/Mynewshub.TV