Najib Bantah Jual, Tutup Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Najib Razak membantah sebarang rancangan untuk menjual atau menutup Malaysia Airlines.

Bekas pengerusi Khazanah itu berkata kerajaan sudah menyediakan pelan pemulihan untuk syarikat penerbangan negara itu.

“Ini satu langkah yang salah. Malaysia Airlines adalah kebanggaan negara. Malaysia Airlines mesti menjadi syarikat perbangan negara.

“Kembali kepada pelan pemulihan Malaysia Airlines. Semasa saya menjadi pengerusi Khazanah, pelan pemulihan itu berjaya. Ia perlukan lebih masa dan tiada alasan kenapa Malaysia Airlines perlu dijual atau ditutup,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau berkata rakyat tidak akan sokong rancangan menjual atau menutup syarikat itu.

Sebelum itu, Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji sama ada mahu menutup, menjual atau membiayai semula Malaysia Airlines yang berdepan masalah kewangan.

Perdana Menteri itu berkata, menutup syarikat penerbangan negara ialah perkara sangat serius.

Pada 5 Mac lalu, susut nilai Khazanah Nasional Berhad berjumlah RM7.3 bilion yang direkodkan tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan Malaysia Airlines.

Kadar susut nilai pada 2018 adalah 3 kali ganda berbanding RM2.3 bilion pada 2017.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan berkata, faktor utama prestasi kurang memberangsangkan itu adalah kos untuk mengekalkan kelangsungan operasi Malaysia Airlines dan limpahannya kepada cukai daripada industri pelancongan, perniagaan dan aktiviti ekonomi.

Pelan pemulihan 5 tahun syarikat penerbangan nasional itu, bermula Ogos 2014.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan tidak boleh gantikan syarikat penerbangan negara dengan lain.

Katanya, hampir semua negara memiliki syarikat penerbangan negara sendiri dan bergitu juga negara kita.

Beliau juga tidak bersetuju jika kerajaan mahu syarikat penerbangan itu diswastakan.

“Malaysia Airlines pernah diswastakan semasa zaman Tun Mahathir dan lepas itu kita kena beli balik dan terpaksa bayar RM1.6 bilion.

“Ia tidak menjadi jadi kita kena pula kena selamatkan,” katanya.

Apabila disoal tentang dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau melindungi masalah kewangan yang dihadapi Khazanah semasa zamannya, Najib menafikan hal tersebut.

“Tidak tidak. Macam yang dikatakan anggota parlimen Bera (Ismail Sabri Yaakob) cakap tadi, setiap tahun semasa pemerintahan BN kita untung sampai 3 ke 4 bilion.

“Kenapa dalam masa 10 bulan dah rugi RM6.3 bilion,” katanya.

Najib juga mempersoalkan tentang susut nilai aset yang dihadapi Malaysia Airlines sebanyak RM25 bilion.

JUMLAH PENJAWAT AWAM

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Dr. Mahathir berhubung saiz perkhidmatan awam, Najib menggesa kerajaan supaya menjalankan analisis dan kajian secukupnya sebelum meneruskan isu itu.

Beliau menambah perbandingan yang betul mesti dilakukan supaya kerajaan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai jumlah ideal kakitangan awam.

“Ia tak boleh berdasarkan retorik,” kata Najib. “Kebanyakannya negara tidak memasukkan polis dan tentera dalam jumlah keseluruhan kakitangan awam, tetapi di sini kita masukkan semua.

“Jika anda buat analisis secukupnya, kita mungkin tidaklah sebesar yang mereka kata, tetapi jika ada bahagian yang boleh dikurangkan, jawatan yang berlebihan, mengapa tidak.”

Beliau bagaimanapun mengingatkan kerajaan bahawa lebih separuh daripada kakitangan awam adalah para guru dan jururawat.

“Penduduk kita ramai muda-muda. Kita berterusan membina sekolah dan sekolah perlukan guru. Jadi, mengurangkan saiz perkhidmatan awam bukan mudah.” – FMT

Loading...