Najib Guna Afidavit Bekas AG Cabar Pelantikan Sri Ram

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam mewakilinya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan menggunakan afidavit sokongan oleh bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam permohonan semakan kehakiman mereka untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes mereka.

Dalam afidavit itu, Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram cuba meyakinkan beliau untuk menahan Najib yang ketika itu perdana menteri berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib menggunakan afidavit sama dalam permohonannya untuk melucutkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB  dihadapinya dan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos untuk mendengar permohonan itu.

Muhammad Shafee, yang mewakili Najib,  memberitahu pemberita, pihaknya telah menyerahkan notis untuk menggunakan afidavit itu kepada responden, semalam (28 Jun).

“Mahkamah telah menetapkan 6 Julai untuk Sri Ram memberi jawapan balas terhadap afidavit Mohamed Apandi dan 13 Julai ditetapkan untuk perbicaraan,” katanya selepas perkara itu dikemukakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya di dalam kamarnya hari ini.

Muhammad Shafee berkata adalah penting untuk mahkamah mendengar perkara itu kerana Sri Ram masih menjalankan tugas sebagai pendakwa raya dan sekiranya wujud masalah dengan pelantikannya, dengan itu semua kes itu akan dibatalkan.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Shamsul Bolhassan mewakili AG/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram yang dinamakan sebagai responden.

Kes itu dikembalikan ke Mahkamah  Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan pada 15 Oktober, 2019, menolak permohonan Pejabat Peguam Negara ( AGC),  Sri Ram dan kerajaan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah rayuan yang memberikan kebenaran kepada kedua-dua mereka untuk mencabar pelantikan itu.

Najib dan Muhammad Shafee, telah secara berasingan, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Disember 2018 untuk mencabar keputusan Peguam Negara melantik  Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau, menyatakan surat pelantikan beliau adalah tidak sah.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram  dan memohon perintah melarang beliau (Sri Ram) mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes dihadapi kedua-dua mereka, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mohamed Apandi, dalam afidavitnya, mendakwa pada lewat tengah hari pada Januari 2018, Sri Ram datang ke rumahnya di Jalan Dutamas di sini, selepas beliau (Sri Ram) membuat beberapa panggilan telefon kepadanya menyatakan mahu bercakap secara peribadi dengannya.

“Beliau (Sri Ram) berkata, “Tun M (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) hantar saya untuk berjumpa anda” dan beliau seterusnya berkata, “Beliau (Tun M) mahu anda menahan Najib di pejabatnya, anda pergi esok pada 2 petang, kami telah aturkan polis di Putrajaya lakukan apa yang perlu berdasarkan arahan anda. Kami juga telah aturkan bagi majistret mengeluarkan perintah reman apabila beliau (Najib) dibawa ke hadapannya”,” kata bekas AG.

Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram memberitahunya yang beliau akan menjadi wira di mata rakyat dan akan menjadi AG pertama menahan seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat dan mereka telah menyediakan rancangan dan apa yang beliau (Sri Ram) perlukan kini adalah untuk dirinya bersetuju.

Bekas AG menegaskan bahawa Sri Ram mempunyai misi yang jelas berat sebelah terhadap Najib dan semua kes dihadapinya. – BERNAMA

Loading...