Najib Ada 5 Akaun AmBank Dengan Baki RM12 Juta

KUALA LUMPUR – Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R. Umadevi mendedahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai lima akaun bank Ambank antara tahun 2011 sehingga tahun 2015.

Kata Uma Devi yang juga saksi ke-21, daripada kelima-lima akaun itu, hanya satu daripadanya simpanan tetap manakala empat lagi akaun semasa.

Semasa akaun itu ditutup pada 30 Ogos 2015, ia mempunyai baki sebanyak RM12,436,711.83 dan RM82.63.

Terdahulu, Uma Devi ketika menjawab soal balas mendedahkan penyata akaun bertarikh 23 Julai 2014 hingga 16 Ogos 2015 mempunyai tiga kemasukan wang daripada akaun syarikat SRC International Sdn. Bhd.

“Wang itu dimasukan ke Syarikat Gandingan Mentari yang melibatkan jumlah sebanyak RM50 juta pada 24 Disember 2014 serta 5 dan 6 Februari 2015.

“Semua wang itu dipindahkan ke dalam akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd. pada hari sama ia dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari. Ini juga dilakukan atas arahan dikeluarkan oleh kedua-dua syarikat kepada AmBank cawangan Raja Chulan,” katanya ketika soal jawab.

Beliau juga mendedahkan sebanyak RM67 juta dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate AmBank milik Najib pada tahun 2014 dan 2015 dengan RM37 juta dimasukkan oleh syarikat Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

Sejurus selepas itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee bangkit mengatakan dirinya bosan dan penat dalam nada bersahaja sehingga menyebabkan semua dalam galeri ketawa.

Hakim kemudian membenarkan prosiding berehat selama 15 minit sebelum menyambungnya kembali selepas berjam mendengar Uma Devi memberikan keterangan.

Sebelum itu, Uma Devi juga mendedahkan subsidiari SRC International, Gandingan Mentari Sdn. Bhd. ada menghantar permohonan untuk membuka akaun semasa dengan AmBank cawangan Raja Chulan pada 23 Julai 2014.

“Gandingan Mentari melampirkan resolusi Lembaga Pengarah sebagai dokumen sokongan untuk permohonan tersebut yang menyebut Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md. Yassin sebagai penandatangan sah untuk akaun itu.

“Penyata akaun syarikat itu yang mempunyai tempoh 23 Julai 2014 sehingga 16 Ogos 2015 menunjukkan Gandingan Mentari telah menerima tiga transaksi wang daripada SRC International.

“Jelasnya, tiga transaksi itu bertarikh 24 Disember 2014 untuk RM40 juta, dan RM5 juta untuk 5 dan 6 Februari 2015.

“Daripada penyata akaun Gandingan Mentari dalam tempoh itu, syarikat ini telah memindahkan RM40 juta kepada Ihsan Perdana Sdn. Bhd. pada 24 Disember 2014,” ujarnya.

Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana merupakan anak syarikat SRC International. – MalaysiaGazette

Loading...