Naik Taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Dijangka Bermula 2020

TUMPAT – Kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di Kota Bharu dijangka bermula tahun 2020…

TUMPAT – Kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di Kota Bharu dijangka bermula tahun 2020 melibatkan peruntukan RM500 juta.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata projek itu akan dilaksanakan di tapak sedia ada, yang merangkumi pembinaan bangunan dua tingkat untuk terminal berlepas dan ketibaan yang mematuhi peraturan penerbangan antarabangsa, dan dijangka siap tiga tahun lagi.

Beliau berkata projek menaik taraf LTSIP itu bagi menampung kapasiti penumpang yang semakin bertambah setiap tahun selain menyediakan suasana yang lebih selamat dan selesa.

“LTSIP baharu nanti akan mampu menampung kapasiti kira-kira empat juta penumpang setahun berbanding dua juta setahun ketika ini,” katanya selepas majlis Pecah Tanah Pembinaan Stesen dan Depoh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tumpat di sini, hari ini, yang ​​​​​​​turut dihadiri Pengurus Perolehan KTMB, Mohd Hider Yusoff.

Sementara itu, stesen dan depoh baharu KTMB Tumpat yang bernilai RM23.7 juta itu dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada 2020, ​​​​​​​sebagai persiapan bagi penggunaan tren Diesel Multiple Unit (DMU) akhir tahun ini menggantikan gerabak lama yang masih digunakan di laluan kereta api Pantai Timur.

Kamarudin juga berkata pelaksanaan kedua-dua projek itu dilihat sebagai pengiktirafan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik. – BERNAMA

Loading...