Nahas Babitkan Momota Tiada Elemen Sabotaj

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan tiada elemen sabotaj dalam insiden kemalangan jalan raya membabitkan pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan tiga individu semalam.

Sambil menegaskan insiden itu tidak diduga, Timbalan Perdana Menteri berkata tiada pihak mahukan perkara itu berlaku dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata demikian ketika ditanya kemungkinan insiden itu memberi kesan terhadap hubungan Malaysia-Jepun.

“Kita tak menduga ini berlaku. Tak akan kita nak itu berlaku. Tak ada elemen sabotaj. Kemalangan berlaku terhadap sesiapa walaupun dia bukan juara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Momota di Hospital Putrajaya, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan turut menzahirkan kekesalan terhadap insiden kemalangan jalan raya itu yang turut mengorbankan seorang pemandu warga tempatan.

Dr. Wan Azizah berkata perhatian dan rawatan terbaik diberikan kepada mangsa supaya mereka dapat pulih dalam masa terdekat.

“Saya telah melawat Momota dan dapati dia stabil. Kita menyesal insiden yang berlaku. Saya juga sempat ucapkan tahniah kepada Momota atas kejayaannya memenangi kejohanan badminton terbuka Malaysia. Apa-apa pun kita kesal ini (kemalangan) berlaku.

“Alhamdulillah, dia stabil dan doktor katakan apa yang dia alami boleh diatasi. Dia memerlukan sedikit masa untuk bengkak surut dan bertambah baik.

“Saya juga bertemu tiga individu lain, seorang alami sedikit kecederaan di kaki, seorang patah tulang. Semua diberikan perhatian serta rawatan terbaik. Alhamdulillah, semua stabil dan dijangka akan dapat pulih tak lama lagi,” katanya.

Beliau turut menghadiahkan madu kelulut kepada Momota dan tiga mangsa terbabit kemalangan itu.

Menggambarkan keadaan Momota ketika ini, Dr. Wan Azizah berkata, struktur hidung pemain badminton dari Jepun itu mengalami sedikit kecederaan dan memerlukan kira-kira enam minggu untuk pulih.

Ditanya bila Momota akan keluar hospital, Dr. Wan Azizah berkata, ia akan dibincangkan dan keadaan pemain badminton itu akan dipantau dan dirawat supaya tiada risiko.

BH difahamkan, Momota memerlukan sehari lagi untuk rawatan di Hospital Putrajaya sebelum dibenarkan pulang.

Semalam, kemalangan jam 4.45 pagi itu berlaku apabila van dinaiki lima mangsa berlanggar dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain Momota, tiga mangsa lain adalah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), William Thomas, 30, dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu, 35 dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Marimoto Akifumk, 42.

Pemandu van berkenaan, B Nageswarau, 24, yang tersepit di tempat duduknya, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – BH Online

Loading...