Nadma Perjelas Siapa Layak Dapat RM100 Sehari?

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengesahkan hanya pesakit yang dirawat di wad dan dikenakan perintah pengawasan serta pemerhatian bagi kontak Covid-19 yang layak menerima bantuan RM100 sehari melalui Bantuan Tabung Covid-19.

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu dalam kenyataan memaklumkan Bantuan Tabung Covid-19 bukan untuk mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Februari hingga 14 April depan seperti diwar-warkan beberapa laman web tidak bertanggungjawab.

Berikut penjelasan agensi itu:-

1. Apa itu TABUNG Covid-19?

Tabung Covid-19 dilancarkan untuk membantu mereka yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat Covid-19 (warded).

2. Siapa yang layak memohon?

i) Warganegara Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19.

ii) Warganegara Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital (warded) berikutan Covid-19.

3. Siapakah yang tidak layak memohon?

i) Bukan warganegara Malaysia

ii) Tiada pekerjaan sebelum dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.

iii) Mempunyai pendapatan atau menerima gaji dalam tempoh Pengawasan dan Pemerhatian.

4. Saya hilang mata pencarian sejak kerajaan mengeluarkan PKP. Adakah saya layak memohon?

Tidak. Hanya yang menerima surat Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 Di Bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

5. Berapakah kadar bantuan?

RM100 sehari sepanjang tempoh dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak Covid-19 atau menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan KKM untuk merawat Covid-19 (warded).

6. Bagaimanakah kaedah untuk memohon?

Muat turun dokumen di laman web www.nadma.gov.my

7. Apakah dokumen yang diperlukan?

I. Borang Permohonan Bantuan Khas Covid-19 (Dokumen Asal)

II. Salinan kad pengenalan. (Salinan Diakui Sah)

III. Dokumen KKM (Salinan Diakui Sah)

8. Jika permohonan saya lulus, bagaimanakah pembayaran akan dibuat?

Bayaran bantuan khas akan dibuat secara Electronic Fund Transfer (EFT) kepada pemohon yang layak dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen permohonan yang lengkap. Nadma berhak memutuskan jumlah bantuan berdasarkan dokumentasi yang dikemukakan atau menolak permohonan yang tidak menepati syarat ditetapkan.

9. Bagaimana hendak menghantar borang permohonan?

Permohonan lengkap dihantar melalui pos ke NADMA di alamat:

Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Jabatan Perdana Menteri, Aras 7, Blok D5, Kompleks D,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62502 Putrajaya.

(u.p.: Sekretariat KWABBN)

10. Bolehkah borang permohonan dihantar melalui emel?

Tidak. Memandangkan proses verifikasi dokumen perlu dilakukan dengan terperinci, borang permohonan perlu di hantar secara manual. Borang permohonan boleh dihantar selepas tamat tempoh PKP.

Loading...