Nabil Minta Maaf Campak Tanjak

“TIDAK menjadi niat saya untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu kita, terutama sekali tanjak yang saya pakai,” luah pelakon, pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad susulan tindakannya mencampak tanjak dipakainya pada siaran langsung sebuah pertandingan lawak, Jumaat lalu.

“Saya buat permohonan maaf bukan atas desakan sesiapa tetapi datang daripada kesedaran diri sendiri.

“Kebetulan Tok Cindai menghubungi saya kerana hal ini dan dia memberi bantuan dalam dalam cara menyelesaikannya,” kata Nabil yang dihubungi individu itu, petang semalam.

Nabil ketika dihubungi Harian Metro, berkata dia sudah ditegur secara baik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Tok Cindai itu yang memintanya membuat permohonan secara terbuka, semalam.

“Saya sudah ditegur secara baik oleh Tok Cindai dan seluruh ahli keluarga Pengabdi Budaya, jadi saya memohon maaf dan ampun kepada semua yang terguris hati dan perasaan atas keterlanjuran saya.

“Saya harap permohonan maaf saya ini dapat diterima oleh semua. Insya Allah,” katanya turut berkongsi permohonan maaf melalui satu rakaman video di laman Instagram (IG) miliknya, semalam.

Dia mengaku terkesan dengan cara teguran dan nasihat yang diberikan individu itu, malah terharu dan sedih apabila diperingatkan mengenai adat dan budaya dengan cara halus.

“Alhamdulillah, masih ramai sayang dan menjaga,” luah Nabil lagi.

Terdahulu, beberapa pengguna laman sosial menyelar tindakan Nabil mencampak tanjak dan kemudian mengutip dan memakainya secara terbalik dalam program komedi itu.

Pemilik akaun Facebook (FB), Persilat Negeri Johor dalam satu kenyataan disertakan tangkap layar video insiden itu, mendakwa Nabil terlalu biadab dan menggambarkan dia harus tahu dan faham adab pemakaian busana itu.

Menurut mereka, sekiranya tidak tahu adab, adat dan budaya Melayu, dia tidak patut memakainya.

“Kerana akan dipandang serong dan menjadi ikutan generasi umum di masa akan datang, seharusnya tunjuk contoh terbaik dan apabila tidak tahu, elok bertanya kerana apabila memakai pakaian adat busana Melayu harus tahu adabnya.

“Tengkolok itu mahkota, bukan topi tepi jalan yang boleh disamakan dengan benda lain. Perlakuan Nabil yang sengaja mencampak tanjak ke lantai membawa erti menjatuhkan maruah keseluruhan bangsa Melayu kerana tanjak adalah pemakaian paling teratas dalam adat Melayu,” kata mereka.

Sebagai penggiat, penggerak budaya dan pemelihara pusaka, mereka meluahkan rasa kecewa dengan kelakuan itu.

Menerusi FB Tok Cindai pula, beliau mengakui pelawak itu sudah menghubunginya secara peribadi dan berbincang secara panjang lebar serta memohon kemaafan.

“Kes selesai, harap berfikiran terbuka dan anggaplah ia tidak disengajakan. Alhamdulillah, martabatkan warisan pusaka dan budaya.

“Adat budaya dan pusaka warisan bangsa perlu dijaga, jikalau tidak kita siapa lagi yang akan memartabatkannya.

“Namun kadang-kala kita terlepas pandang dan tidak disengajakan secara spontan. Harap jadikan teladan dan jangan ulangi kesilapan itu,” tulis Tok Cindai lagi.

Dia berharap pencinta budaya dapat memaafkan pelawak itu kerana menyedari sebagai hamba tidak lari daripada berbuat silap. – myMetro Online

Loading...