Nabil Bersyukur Diiktiraf Pengacara Terbaik Asia

TAHNIAH… Nabil Ahmad menzahirkan rasa syukur apabila terima anugerah Pengacara Hiburan Terbaik di Asian Academy Creative Awards berlangsung di Cannes, Perancis pada Isnin lalu.

Menurut hos berusia 35 tahun dan berasal dari Negeri Sembilan itu, kejayaan tidak dijangka berkenaan merupakan satu penghargaan tertinggi yang diperoleh oleh dirinya sepanjang 10 tahun bergelar sebagai anak seni.

“Syukur Alhamdulillah… terima kasih atas anugerah yang sangat besar ini. Terima kasih kepada keluarga dan isteri, Zira Ayub.Β Tak lupa juga kepada rakan pengacara Gegar Vaganza, Jihan Muse.

“Dan semua tim produksi program tersebut daripada musim pertama hingga sekarang kerana mempercayai saya. Dan paling penting, kelab peminat Nabelicious yang tak henti-henti menyokong,” katanya.

Pelawak popular ini berkongsi kegembiraan tersebut menerusi akaun sosial Instagram miliknya pada Khamis lepas. Hantaran tersebut menerima lebih 40,000 tanda suka dan ribuan komen ucapan tahniah.

Asian Academy Creative Awards dikenali kerana banyak memberi pengiktirafan kepada pengkarya industri kreatif dari seluruh benua Asia menerusi pelbagai program terutamanya produksi media.

Ia mempertandingkan 49 kategori dengan membabitkan penyertaan dari 20 buah negara Asia.

Sebelum ini, menerusi laman Instagram Datuk Aznil Nawawi, dia turut memuat naik ucapan tahniah kepada pengacara tersebut.

“Bring it on Nabil, World is next! Tahniah,” tulisnya. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...