Nabi Muhammad Bukan Melarikan Diri – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan Nabi Muhammad SAW meninggalkan Makkah atas perintah dan tuntutan ALLAH SWT dan bukannya melarikan diri ke Madinah.

“Dalam kitab Fiqh Al-Sirah dikaryakan Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buti yang mentakrifkan hijrah di mana beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW tatkala hijrah ke kota Madinah bukanlah bermakna Rasulullah melarikan diri dengan hanya melarikan diri begitu tetapi adalah atas perintah dan tuntutan ALLAH SWT.

“Istilah hijrah berbeza sangat dalam mana-mana terma dari segi agama berbanding dengan yang lain,” katanya dalam sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) sama ada kenyataan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang dilapor menyebut Nabi Muhammad SAW pernah menjadi ‘pelarian’ semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, boleh diklasifikasi sebagai menghina Rasulullah SAW.

Zulkifli sebelum menjawab soalan itu turut memohon maaf kerana tidak berada di Dewan Rakyat ketika Presiden Amanah itu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Menjawab soalan asal Mohd Fasiah mengenai jumlah aduan diterima berhubung pihak yang menghina Nabi Muhammad SAW, Zulkifli berkata, Unit Pemantauan Isu Hina Agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima dan menyaring 42,500 mesej aduan dalam media sosial sehingga 30 Jun lepas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, hanya 431 dikenal pasti sebagai aduan dan 83 pautan berkaitan telah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan.

“Berasaskan aduan yang dipanjangkan oleh Jakim, pihak SKMM telah menjalankan penelitian terhadap kandungan-kandungan tersebut dan ia diangkat untuk proses tindakan lanjut di bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan SKMM, Polis Diraja Malaysia dan semua pihak berkuasa agama negeri bagi mengekang aktiviti penghinaan agama.

Sementara itu, beliau berkata, usaha menyampaikan kefahaman mengenai keindahan Islam kepada rakyat Malaysia akan dipergiat bagi memperbetulkan salah faham sekali gus meredakan kes-kes penghinaan yang mungkin berpunca daripada silap faham terhadap ajaran Islam. – BERNAMA

Loading...