MyDIGITAL Buka 500,000 Pekerjaan, Sumbang 22.6% Kepada KDNK

KUALA LUMPUR – Inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan hari ini dijangka membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital dan bakal menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Menurutnya, inisiatif ini merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

“MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan sehingga tahun 2030.

“Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK negara,” kata beliau pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia hari ini secara maya.

Muhyiddin menambah kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang.

Selain itu, beliau berkata bahawa inisiatif-inisiatif di bawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang. 

Inisiatif ini akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baharu dalam sektor digital bernilai RM70 bilion dari dalam dan luar negeri, katanya.

Seterusnya, kerajaan menyasarkan tahap produktiviti sektor ekonomi meningkat 30 peratus lebih tinggi berbanding hari ini menjelang tahun 2030.

Bagi sektor awam pula, semua agensi akan menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai sebagai pilihan utama menjelang tahun 2022, jelas perdana  menteri.

Sementara itu, untuk merancakkan inovasi dan mewujudkan sebuah ekosistem digital yang berkesan, empat jenis prasarana digital penting di bawah MyDIGITAL ini perlu dibina terlebih dahulu, kata Muhyiddin.

“Usaha pembinaan ini akan dilakukan menerusi pendekatan usahasama kerajaan dan swasta yang mana sektor swasta akan berkongsi menyumbangkan dana modal dan kemahiran.

“Pertamanya, sejumlah RM21 bilion akan dilabur sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada,” kata beliau.

Muhyiddin menambah rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat iaitu daripada 7.5 juta premis pada akhir tahun 2022 kepada 9.0 juta premis menjelang penghujung tahun 2025.

Bersandarkan rangkaian gentian optik yang lebih luas ini, negara akan lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima  (5G) dalam masa yang terdekat.

Kedua, sejumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga tahun 2023.

Ini, jelas Muhyiddin akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekali gus menurunkan kos internet kepada pengguna di Malaysia.

Ketiga, sejumlah RM15 bilion akan dilaburkan sepanjang 10 tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara dan ini akan mewujudkan lebih kurang 105,000 peluang pekerjaan.

“Usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus atau “special purpose vehicle”’ di bawah kerajaan Malaysia.

“Entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G,” ujar beliau sambil menambah semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.

Menjelang hujung tahun ini, teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat.

Dengan ini, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar (real-time) untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.

Keempat, antara RM12 billion hingga RM15 billion akan dilaburkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan awan (Cloud Service Provider – CSP) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perdana menteri turut mengumumkan kerajaan setakat ini telah memberikan kebenaran bersyarat kepada empat syarikat CSP iaitu Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia – untuk membina dan menguruskan pusat data berskala hiper (hyper-scale) dan perkhidmatan awan.

Pusat data yang berskala hiper ini serta perkhidmatan awan hibrid  juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis. – BERNAMA