Friday, April 26, 2024

Creating liberating content

Modal Asing Terus Mengalir...

KUALA LUMPUR - Aliran keluar modal asing daripada pasaran bon Malaysia berterusan untuk...

Video: Driver Uber Dimaki,...

DUA rakaman berasingan memaparkan beberapa pemandu teksi memarahi pemandu Uber yang didakwa merampas...

TLDM Bantu Lepaskan Nelayan...

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya membantu melepaskan lima nelayan...

FAP Tamatkan Khidmat Diogo...

GEORGE TOWN - Dua pemain import Pulau Pinang, Diogo Ferreira dan Andrew Russell...

Muzium Kesenian Islam Cerminan Pencapaian Dan Nasib Malang Umat Islam

KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM), Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kewujudan muzium itu memberi peringatan mengenai tamadun Islam dan pencapaian ummah serta bagaimana mereka boleh tergelincir ke jurang kejatuhan.

Menurut beliau, penubuhan muzium itu bukan semata-mata bertujuan untuk mengagung-agungkan kegemilangan Islam pada zaman lampau atau memandang rendah terhadap tamadun lain.

Sebaliknya, kata beliau, pameran yang diadakan di muzium itu juga perlu menjadi peringatan tentang bagaimana Islam berjaya mencapai ke puncak kegemilangannya dan menjadi fenomena global, manakala pada zaman itu juga, ilmu dan sains Islam berjaya menerangi kegelapan yang menyelubungi dunia barat.

“Pameran-pameran ini juga sepatutnya memberi kesedaran kepada kita mengenai bagaimana umat Islam telah menyimpang dan tergelincir daripada landasan apabila mereka mengasingkan diri ke dalam kepompong atas nama Islam.

“Oleh itu, umat Islam perlu memberi perhatian terhadap karya dan artifak yang menunjukkan bahawa kepentingan duniawi dan sikap dahagakan semua jenis ilmu dan sains telah menjadikan Islam dan umatnya begitu hebat suatu ketika dulu,” kata beliau ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 IAMM dan ulang tahun ke-40 penubuhan Yayasan Albukhary di muzium itu di sini hari ini.

Dr Mahathir mengaku beliau mempunyai ikatan peribadi dengan muzium itu kerana beliau mengikuti pembangunannya dengan begitu teliti – sejak hari upacara pecah tanahnya pada 1997, hinggalah kepada majlis perasmian pembukaannya pada 1998.

Beliau berkata pihak pengurusan muzium itu terbukti bijak dalam mengenal pasti sumbangan penting para cendekiawan, ahli pertukangan dan penyumbang Islam serta sikap inovasi mereka dalam mempersembahkan karya dan artifak hingga berjaya menarik minat pengunjung tempatan dan asing.

“Sesungguhnya, Muzium Kesenian Islam Malaysia telah mengukir namanya sebaris dengan muzium dan galeri Islam lain yang terkenal dan ditubuhkan lebih dahulu di seluruh dunia hingga menjadi hub pendidikan bagi penyelidik serta tempat tumpuan peminat dan penggiat seni,,” katanya.

Beliau berkata muzium itu juga banyak berkongsi dengan dunia keindahan seni dan budaya Islam, menyerlahkan wawasan tentang bagaimana Islam tersebar, falsafah serta sumbangannya dalam bidang sains dan teknologi, perubatan, matematik serta sumbangan lain terhadap dunia intelek global.

“Ringkasnya, muzium ini berjaya menampilkan Islam sebagai ‘ad-deen’, suatu cara hidup dan apa yang menjadikannya mampu tersebar dan dianuti warga dunia daripada pelbagai latar belakang,” kata Dr Mahathir.


Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk menyokong segala usaha dilakukan muzium tempatan, termasuk IAMM.

“Saya sedar tentang kesulitan yang dihadapi kurator untuk mendapatkan bahan pameran, terutama apabila ia melibatkan negara lain serta pihak berkuasa asing. Di mana mungkin, kerajaan bersedia untuk membantu,” katanya.

Pada majlis hari ini, Dr Mahathir juga merasmikan Perpustakaan Cendekiawan Yayasan Albukhary di muzium itu, yang mempunyai koleksi lebih 20,000 naskhah buku dan jurnal dari seluruh dunia.

Dihasilkan dalam pelbagai bahasa dan meliputi beraneka disiplin, naskhah berkenaan meliputi bidang kesenian dan seni bina Islam, sejarah, agama, bibliografi, sains perpustakaan, bahasa dan kesusasteraaan, yang turut memberi penekanan terhadap bidang falsafah, sains, perubatan, sosiologi, antropologi, ketenteraan serta sains dan teknologi.

Kemudahan baharu itu juga mempunyai bahagian khas yang menempatkan penerbitan nadir dan edisi terhad, termasuk buku yang dicetak pada awal abad ke-17.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ia merupakan perpustakaan muzium terbesar dan paling komprehensif di Asia Tenggara, dengan misi utamanya untuk menyokong aktiviti kajian dan penyelidikan tentang koleksi yang terdapat di muzium ini,” kata beliau. – BERNAMA

Kategori