Mustapa Dilantik Ketuai Unit Peneraju Agenda Bumiputera

PETALING JAYA – Putrajaya hari ini mengumumkan bekas menteri, Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) selama 2 tahun.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali ketika membuat pengumuman itu berkata, beliau yakin ahli Parlimen Jeli itu dapat mencapai agenda ekonomi Bumiputera sejajar Wawasan Kemakmuran bersama 2030.

“Dengan kepimpinan baru ini, saya pasti usaha berterusan yang akan dilaksanakan Teraju akan meningkatkan daya saing Bumiputera, sekaligus memantapkan lagi kedudukan Bumiputera dalam ekonomi negara.

“Selain sudut ekonomi, Teraju mempunyai peranan besar dalam menjamin kesejahteraan hidup serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapa mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, kewangan, pendidikan dan perdagangan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 2009 hingga 2018), menteri pertanian dan industri asas tani (2008-2009), menteri pengajian tinggi (2006-2008), menteri di Jabatan Perdana Menteri (2004-2006), Menteri kewangan II (1998-1999), menteri pembangunan usahawan (1995-1999) serta timbalan menteri kewangan (1993-1995). – FMT

Loading...