Musa Diikat Jamin RM2 Juta, Sebutan Kes 13 Disember

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang didakwa atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri itu berjumlah US$63, 293,924 (RM263,460,962.313) diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Hakim Rozina Ayob mengarahkan Musa, 67, membayar RM1 juta hari ini dan RM1 juta pada hari Rabu dan menyerahkan satu pasport diplomatik dan satu pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Tertuduh juga hendaklah berada di Semenanjung sehingga penyelesaian penuh wang jaminan,” katanya yang kemudiannya menetapkan 13 Dis untuk sebutan semula kes Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Musa dituduh memperoleh rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan kesalahan itu didakwa dilakukan di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu US$131,578, US$921,052 dan US$263,000 daripada Lim Nyuk Foh melalui akaun Citi Bank dan HSBC Bank atas nama Chia Tien Foh sebagai suatu dorongan untuknya melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada Syarikat Bountiful Returns Sdn Bhd.

Musa didituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Citi Bank, Kowloon, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China dan di HSBC Bank, Ocean Tower Branch, Singapura pada 20 Dis 2004 dan 17 Feb 2005.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, dia didakwa atas kapasiti sama telah secara rasuah memperolehi untuk dirinya suapan wang US$1,295,336 dan US$388,601 daripada Looh Chai Boon melalui akaun JP Morgan Chase Manhattan Bank atas nama Nasir Yeo Guan Hock, sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan serupa kepada Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd dan J.V. Lestari Sdn Bhd, di JP Morgan Chase Manhattan Bank, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 11 Sept 2005 dan 31 Okt 2005.

Pertuduhan keenam hingga ke-12, Musa di dakwa telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya sejumlah wang iaitu US$2,590,673, US$64,766.83, US$1,308,900.52, US$524,934.38, US$393,700, US$393,700.78 dan US$395,778.36 daripada Looh melalui akaun HSBC Bank di atas nama Chia sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan yang sama kepada syarikat yang serupa di HSBC Bank, Claymore Plaza, Singapura pada 12 Dis 2005 hingga 16 Mac 2006.

Mengikut pertuduhan 13, beliau dituduh atas kesalahan sama berjumlah US$5,291,005.29 daripada Looh melalui akaun JP Morgan Chase Manhattan Bank atas nama Nasir sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan serupa kepada Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd dan J.V. Lestari Sdn Bhd, di JP Morgan Chase Manhattan Bank, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 24 Mac 2006.

Pertuduhan ke-14 hingga ke-16 Musa didakwa sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan US$16,148,547, US$1,047,153 dan US$3,134,128.16 daripada Chia melalui akaun UBS AG atas nama Richard Christopher Barnes, sebagai dorongan melakukan perbuatan serupa kepada Syarikat Tamabina Sdn Bhd, Syarikat Sabapoineer Sdn Bhd dan Syarikat Danagaya Sdn Bhd, di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, antara 21 Jun 2006 dan 16 Julai 2006.

Bagi pertuduhan ke-17, Musa didakwa memperoleh suapan berjumlah US$2,180,673.83 daripada Mazlan Zakaria melalui akaun UBS AG atas nama Richard Christopher Barnes kepada Syarikat LR Enterprise Sdn Bhd, Lembah Mayang Sdn Bhd dan Fast Progress Sdn Bhd di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 20 Ogos 2006.

Pertuduhan ke-18, dia dituduh sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan US$4,044,956.82 daripada Lo Man Heng melalui akaun UBS AG atas nama Richard Christopher Barnes, sebagai dorongan melakukan perbuatan sama kepada Syarikat Maju Sinar Network Sdn Bhd di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 22 Ogos 2006.

Pertuduhan ke-19, dia dituduh sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$518,681.74 daripada Mazlan melalui akaun UBS AG atas nama Richard Christopher Barnes, sebagai dorongan melakukan perbuatan serupa kepada Syarikat LR Enterprise Sdn Bhd, Lembah Mayang Sdn Bhd dan Fast Progress Sdn Bhd di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 7 Nov 2006.

Pertuduhan ke-20 hingga 21, dia dituduh sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang US$108,108 dan US$507,636 daripada Looh atas nama Chia, sebagai dorongan melakukan perbuatan sama kepada Syarikat Eden Region Sdn Bhd dan Gasing Selatan Sdn Bhd, di Credit Suisse Raffles Place, Singapura, pada 16 Nov 2006 dan 14 Feb 2007.

Pertuduhan ke-22, Musa didakwa sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$895,000 daripada Mazlan melalui akaun UBS AG atas nama Richard Christopher Barnes, sebagai dorongan melakukan perbuatan serupa kepada Syarikat LR Enterprise Sdn Bhd, Lembah Mayang Sdn Bhd dan Fast Progress Sdn Bhd di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 21 Mac 2007.

Pertuduhan ke-23, Musa didakwa sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$ 28,570 daripada Looh atas nama Chia, sebagai dorongan melakukan perbuatan sama kepada Syarikat Eden Region Sdn Bhd dan Gasing Selatan Sdn Bhd, di Credit Suisse Raffles Place, Singapura, pada 2 Mei 2007.

Pertuduhan ke-24 dan 25, dia dituduh sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang US$1,624,432.50 dan US$7,300,000 daripada Nasir melalui akaun atas nama Richard Christopher Barnes, sebagai dorongan melakukan perbuatan sama kepada Syarikat Innokinta Sdn Bhd, Segar Tepat Sdn Bhd, J.V. Lestari Sdn Bhd, Eden Region Sdn Bhd dan Gasing Selatan Sdn Bhd, di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 8 Jun 2007.

Pertuduhan ke-26 hingga 28, Musa didakwa sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$862,000, US$ 778, 443 dan US$3,044,140 daripada Looh melalui akaun UBS AG atas nama Richard Christopher Barnes dan melalui akaun Fortis Private Banking atas nama Looh sebagai dorongan melakukan perbuatan yang sama kepada Syarikat Tetap Simfoni Sdn Bhd di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 20 Julai 2007 dan di Fortis Private Banking, Singapura, pada 19 Feb 2008. 19 Feb 2008.

Pertuduhan ke-29, dia didakwa sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$650,000 daripada Nip Wing Hon UBS AG atas nama Richard Christopher Barnes, sebagai dorongan melakukan perbuatan sama kepada Syarikat Asiatic Lumber Industries Sdn Bhd di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 29 Feb 2008.

Pertuduhan ke-30 hingga 32, Musa didakwa sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$3,120,125, US$1,238,767.48 dan US$20,013.89 daripada Ngui Ing Chuang melalui akaun UBS AG atas nama Ark Capital Technologies Ltd, sebagai dorongan melakukan perbuatan serupa kepada Syarikat Eramewa Sdn Bhd di UBS AG Bank, Raffles Place, Singapura, pada 3 Mac 2008 dan 4 Mac 2008.

Pertuduhan ke-33 dan 34, dia dituduh sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$406,250 dan US$311,332.50 daripada Looh melalui akaun atas nama Richard Christopher Barnes, sebagai dorongan melakukan perbuatan sama kepada Syarikat Tetap Simfoni Sdn Bhd di UBS AG Bank, Central, di Hong Kong Special Administrative Region of the People’s Republic Of China, pada 20 Mac 2008 dan 25 Mac 2008.

Pertuduhan ke-35, beliau didakwa sebagai ejen kerajaan telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang US$1,361,939.80 daripada Ngui Ing Chuang melalui akaun UBS AG di atas nama Starwater Corporation Ltd. sebagai dorongan melakukan perbuatan yang sama kepada Syarikat Eramewa Sdn Bhd di UBS AG Bank, Raffles Place, Singapura, pada 6 Nov 2008.

Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA