Murid Maut, 2 Parah Dirempuh Pemandu Mabuk

KOTA BELUD – Seorang murid perempuan maut manakala dua lagi parah selepas dirempuh sebuah kenderaan Nissan Sentra di Jalan Kampung Tempasuk 2 di sini, kira-kira pukul 6.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd. Zaidi Abdullah berkata, Max Christty,10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasuk 2, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, dua mangsa yang parah ialah Maxryona Masdi, enam tahun, murid SK Tempasuk 2 dan Michelle Marianne, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan 1 Kota Belud.

“Siasatan awal mendapati pemandu disyaki memandu dalam keadaan mabuk sebelum merempuh pelajar sekolah yang berada di sebelah kanan bahu jalan ketika sedang menunggu kenderaan untuk ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, kenderaan itu kemudian terbabas sebelum melanggar bahagian tepi konkrit sebuah rumah milik orang kampung.

Mangsa yang parah telah dibawa ke Hospital Kota Belud sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Likas Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pemandu berusia 54 tahun itu hanya mengalami cedera ringan dan kini ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1952.

Loading...