Mungkin Tiada Cukai Baharu Dalam Bajet 2020 – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu semasa pembentangan Bajet 2020 di Parlimen pada Oktober ini.

Apa yang pasti, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan telah memutuskan Cukai Pusaka (Inheritance Tax) tidak akan dilaksanakan buat masa sekarang.

“Kemungkinan besar tiada sebarang cukai baharu diperkenalkan (semasa Bajet 2020) tetapi apa yang pasti saya telah membatalkan (cadangan untuk memperkenalkan) Cukai Pusaka buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Pada pembentangan Bajet 2019, kerajaan telah memperkenalkan Cukai Minuman Bergula serta pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kerajaan juga mengumumkan pengenalan cukai terhadap perkhidmatan digital dari luar negara seperti Netflix dan Spotify bermula tahun depan.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya berkata, Malaysia telah berjaya menepis kebimbangan banyak pihak terhadap kestabilan politik di negara ini.

Ini sekali gus menyebabkan kerajaan yakin Malaysia mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.6 peratus tahun ini.

“Kami maklum mengenai kebimbangan banyak pihak terhadap ketidaktentuan politik di Malaysia.

“Kami juga terkejut apabila isu tersebut berjaya ditangani.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa Malaysia mempunyai kestabilan politik, kerajaan yang stabil dan perdana menteri yang pasti mengenai masa hadapan politik di negara ini,” katanya lagi.

Loading...