Thursday, April 18, 2024

Creating liberating content

Gempa Bumi Kuat Landa...

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter melanda Laut...

Penguasaan Bahasa Inggeris Penting...

KUALA LUMPUR - Penguasaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik amat penting...

Pekerja Penghantar Makanan Kantoi...

TIDAK sedar dirinya dirakam, seorang penghantar makanan syarikat Zomato dipecat selepas rakamannya makan...

13,496 Sukarelawan Sertai Kospen...

SEMPORNA - Sejumlah 13,496 sukarelawan dilatih untuk menyertai program Komuniti Sihat, Perkasa Negara...

Mulakan Perniagaan Dalam Talian Tidak Sukar

KUALA LUMPUR – Sebut sahaja Mudah.my, Lazada, Shopee, 11Street, Zalora, FashionValet dan Alibaba, ramai yang sudah kenal nama-nama ini sebagai kedai dalam talian terkenal di Malaysia.

Bahkan jika sebut Facebook atau Instagram sekalipun, semakin ramai rakyat Malaysia yang melihat laman media sosial ini bukan semata-mata tempat beramah mesra dengan rakan-rakan tetapi juga tempat membeli-belah.

Satu kajian oleh iPrice Group melaporkan sehingga Ogos 2017, nilai industri e-dagang di negara ini bernilai RM24.6 bilion.

Pada Julai 2017, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pelbagai usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan sumbangan KDNK industri e-dagang daripada 5.4 peratus pada 2015 kepada sembilan hingga 10 peratus menjelang 2020.

Dengan peningkatan kos hidup hari ini, semakin ramai yang menjalankan perniagaan dalam talian untuk menjana pendapatan kedua.

Tanpa memerlukan modal yang besar atau kemahiran canggih mengendalikan komputer, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan risiko kerugian sifar atau sangat minimum.

Bahkan ada juga yang pada mulanya menjalankan perniagaan ini secara sambilan tetapi akhirnya ia sebagai sumber pendapatan utama dengan ramai meninggalkan pekerjaan makan gaji mereka.

MULA TANPA MODAL

Dalam ‘Seminar Mula E-Commerce’ di sini, pada 20 Januari lepas, lebih 100 orang awam yang berminat dengan perniagaan dalam talian hadir untuk mempelajari ilmu asas sebelum bergiat aktif perniagaan dalam talian.

Seminar selama sehari ini menggabungkan empat penggiat perniagaan online untuk memberi bimbingan cara memulakan perniagaan dalam talian daripada peringkat asas menggunakan platform percuma hinggalah cara membesarkan perniagaan menggunakan ruang internet berbayar.

Pengasas kedai barangan ibu dan anak thebabystore.com.my, Syed Rosman Hashimy Syed Alwi, 33, menjadi penceramah pertama seminar. Beliau berkongsi pengalamannya menceburi bidang perniagaan dalam talian sejak 2013.

“Perniagaan dalam talian boleh dimulakan tanpa kos sekiranya seseorang itu sudah pun memiliki komputer dan capaian internet. Dua cara mudah adalah menjadi ejen ‘dropship’ atau menjual dengan cara mengambil pesanan awal (pre-order).

“Sebagai contoh jika ada kilang keropok lekor berdekatan tempat tinggal, iklankan produk kilang itu di internet. Jika ada tempahan, minta pelanggan buat bayaran penuh termasuk kos penghantaran. Dengan duit itu penjual beli produk, hantar kepada pelanggan dan nikmati untung daripada jualan itu,” jelas Syed Rosman.

BANYAK PLATFORM

Syed Rosman turut berkongsi peta jalan yang memberi panduan kepada peniaga baharu membangunkan perniagaan sesuai dengan tahap kemampuan mereka.

Langkah pertama yang dicadangkan beliau adalah untuk bermula dengan membuat jualan di laman ‘marketplace’ mudah.my kerana laman ini memberi kemahiran asas dalam membuat penyenaraian produk. Laman ini juga tidak mengenakan sebarang caj perkhidmatan.

Setelah mahir, peniaga boleh berpindah ke laman ‘marketplace’ lain seperti Shopee, Lazada dan 11Street. Ada antara laman ini yang mengenakan caj perkhidmatan dan ada yang memberi perkhidmatan percuma.

Apa yang penting bagi Syed Rosman, di peringkat ini peniaga boleh fokus kepada aktiviti jualan dan perkhidmatan pelanggan kerana mereka tidak perlu memikirkan aspek teknikal seperti pewujudan dan penyelenggaraan laman sesawang yang memerlukan skop kemahiran yang jauh berbeza.

Di peringkat ini juga peniaga tidak perlu fokus melaburkan wang untuk aktiviti promosi seperti Facebook Advertisement dan Google Advertisement kerana pemilik laman ‘marketplace’ akan menggalas tanggungjawab itu.

“Kesempatan ini boleh digunakan peniaga untuk meningkatkan kecekapan operasi, menyusun aliran tunai yang baik dan merancang dengan baik sebelum mewujudkan platform e-dagang mereka sendiri,” ulas beliau.

PELAN JANGKA PANJANG

Seorang lagi penceramah, Zulkifli Abdullah, 33, berkata peniaga dalam talian perlu menyusun strategi jualan masing-masing untuk mendapatkan nilai jualan maksimum daripada setiap pelanggan yang datang berkunjung ke kedai dalam talian mereka.

Tanpa pelan jualan yang baik, seseorang peniaga mungkin boleh menjual satu produk sahaja kepada pelanggan.


“Mengapa ia harus begitu sedangkan mungkin dalam satu-satu transaksi peniaga boleh menjual tiga atau empat produk sekali gus?” tanya anak muda kelahiran Bachok, Kelantan ini.

Untuk itu, Zulkifli berkata peniaga perlu betul-betul kenal pasti keperluan sebenar pelanggan dan bagaimana produk peniaga itu boleh memenuhi cita rasa pelanggan.

Contohnya, bagi seseorang pelanggan yang mengalami masalah berat badan, peniaga boleh terlebih dahulu menarik perhatiannya katakan dengan menawarkan e-buku percuma akan teknik-teknik mengurangkan berat badan. Ini dikatakan ‘lead magnet’ untuk menarik perhatian pelanggan berpotensi.

Selepas itu, peniaga boleh mula menawarkan produk berbayar dengan harga promosi, diikuti dengan produk utama dan diakhiri dengan ‘profit maximiser’ melalui tawaran produk premium kepada pelanggan yang mahukan kepuasan atau pengalaman yang lebih seperti pakej program pengurusan badan.

“Jika peniaga tidak mencuba, mereka akan kehilangan potensi jualan nilai tinggi dan ini bukanlah sesuatu yang baik kerana ia adalah peluang keemasan yang dilepaskan begitu sahaja,” tegas beliau.

STRATEGI PEMASARAN FLEKSIBEL

“Dalam industri yang berkembang pantas seperti e-dagang, seseorang peniaga perlu sentiasa bersedia untuk mengubah strategi pemasaran mereka melalui penyediaan bajet, jenis kempen jualan serta hasil jualan yang berjaya diraih,” kata konsultan pemasaran digital, Muhammad Alimuddin Zafrullah.

Beliau dalam membentangkan topik ‘E-commerce Marketing and Analytics’ berkata tidak semua kempen yang dirancang akan memberi hasil seperti yang diharapkan. Oleh itu peniaga perlu sentiasa fleksibel untuk menyesuaikan tawaran dengan situasi.

Bagi Muhammad Alimuddin, setiap peniaga dalam talian perlu terlebih dahulu menetapkan sasaran KPI bagi setiap kempen promosi yang dijalankan. Ini akan membolehkan peniaga menilai tahap keberkesanan sesuatu kempen dengan pantas dan cekap.

Peniaga juga perlu menyediakan beberapa set bahan visual dan skrip jualan untuk sesuatu kempen.

“Sambil kempen dijalankan, peniaga menilai keberkesanan kempen yang sedang dijalankan melalui data seperti aliran trafik dan nilai jualan. Daripada data inilah kelemahan kempen dapat dikenalpasti dan peniaga dapat membuat perubahan perlu untuk meningkatkan keberkesanan kempen dengan pantas,” ulas beliau lagi.

Muhammad Alimuddin percaya peniaga kecil mempunyai kelebihan untuk melakukan banyak eksperimen dan mengubah strategi tanpa halangan birokrasi seperti yang dialami penggiat besar. Ini memberikan mereka sedikit kelebihan yang membolehkan mereka bersaing dengan penggiat besar.

TINGKAT KEPERCAYAAN

Bagi pengasas laman notabisnes.net, Ahmad Izwan Abdul Wahab, 35, dua perkara penting untuk menjana kepercayaan pelanggan urusniaga dalam talian adalah kepercayaan pembeli terhadap diri penjual dan keberkesanan produk atau perkhidmatan yang dijual.

Dikenali sebagai ‘the simplifier’ (pemudahcara) dalam kalangan usahawan dalam talian, Ahmad Izwan menekankan untuk meningkatkan kepercayaan, interaksi secara konsisten memainkan peranan utama. Semakin kerap mereka ‘melihat’ peniaga, semakin meningkatlah kepercayaan.

“Kemudian baru kita masuk kepada menjaga hati pelanggan. Definisi pelanggan di sini adalah mereka yang membeli produk walaupun ia hanyalah sampel yang bernilai RM1.”

“Dengan maklumat peribadi pelanggan seperti nombor telefon dan alamat emel, kita sentiasa berkomunikasi dengan mereka berhubung status pembelian seperti status pesanan mereka – produk sudah dibungkus, sudah dihantar dan akhir sekali pertanyaan jika mereka sudah menerima produk yang dibeli,” ulas Ahmad Izwan.

Bisnes yang menghubungi dan menjaga kepentingan pelanggan secara proaktif akan mendapat kepercayaan tinggi pelanggan walaupun tanpa bersua muka.

Tambah Ahmad Izwan lagi, hasil tinjauan sebuah majalah persatuan pengguna di Amerika Syarikat mendapati perkara yang paling menyakitkan hati pelanggan adalah bila mereka terpaksa berusaha menghubungi penjual bila timbul sesuatu masalah. – BERNAMA

Kategori