Muktamad Penyeragaman Isu Peraturan, Cukai Hotel, Airbnb

MELAKA – Kerajaan akan memuktamadkan penyeragaman beberapa isu antaranya peraturan dan cukai melibatkan sektor perhotelan, khidmat Airbnb (penginapan dan sarapan) dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata tindakan itu bagi memberi nafas baharu kepada industri pelancongan khususnya pengusaha sektor perhotelan seperti di Melaka yang menanggung beban lebih besar berbanding Airbnb ekoran penularan wabak COVID-19 kerana sektor perhotelan terikat dengan beberapa peraturan dan kawalan berbanding Airbnb.

Beberapa perbincangan telah dan sedang diadakan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri dan kita ada satu jawatankuasa di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang ditugaskan untuk menyelesaikan karenah sebegini.

Katanya, langkah itu juga penting memandangkan sektor pelancongan turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri dan negara khususnya, setelah terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Sudah pasti dalam perniagaan, kita ada konsep ‘level playing field’ maknanya berlaku adil pada semua. Jadi kalau satu komponen itu dikenakan dengan pelbagai peraturan, satu sektor lagi tidak tertakluk kepada sebarang peraturan, sudah pasti ini tidak adil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam dan Sesi Perbincangan serta Libat Urus ‘Industri Pelancongan: Sebelum dan Selepas COVID-19’ di Bandar Hilir di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan dan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Jailani Khamis.

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan sedang di peringkat akhir mempertimbangkan semua permohonan yang dikemukakan setiap negeri di bawah Rancangan Malaysia ke-12 termasuk Melaka.

Beliau berkata sebagai contoh Kerajaan Negeri Melaka memohon peruntukan RM100 juta bagi projek pembangunan kereta kabel dan untuk menyelenggara beberapa destinasi pelancongan (RM25 juta).

“Jadi saya perlu berbincang dengan Menteri Kewangan dan akhir sekali dengan Perdana Menteri sebelum membuat keputusan tentang permohonan yang dikemukakan,” katanya. – BERNAMA

Loading...