Mujahid Yang Patut Mohon Maaf – Asyraf

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak membuat apa-apa tuduhan mahupun dakwaan fitnah berhubung isu penjualan ekuiti Tabung Haji bernilai RM2.6 bilion. 

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof sepatutnya tampil memberikan penjelasan mengenai berita penjualan ekuiti tersebut yang dilaporkan di muka hadapan Utusan Malaysia pada 30 September dan portal The Malaysian Reserve 27 September lalu. 

Rentetan itu, beliau pula menuntut Mujahid membuat permohonan maaf kepada dirinya secara terbuka dalam tempoh seminggu bermula semalam. 

“Tarik balik dakwaan bahawa saya dengan sengaja mahu meruntuhkan institusi Tabung haji dengan mengibaratkan saya umpama ‘marahkan nyamuk, satu kelambu dibakar,” tulisnya dalam laman Facebook rasminya di sini semalam.

Semalam, Mujahid memberi tempoh selama seminggu kepada Asyraf Wajdi untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik dakwaannya mengenai Lembaga Tabung Haji telah melupuskan aset-aset strategik bernilai RM2.6 bilion termasuk RM1.8 bilion dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Jelas Mujahid, dakwaan-dakwaan konsisten Asyraf Wajdi kebelakangan ini terhadap Tabung Haji telah dinafikan syarikat itu dan boleh menjejaskan kedudukan Tabung Haji yang dalam proses pemulihan. 

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, desakan menuntut penjelasan segera daripada seorang menteri adalah penting bagi memastikan keyakinan para pendeposit tidak terjejas. 

“Sebagai menteri, seharusnya beliau menerima gesaan dengan hati terbuka dan berjiwa besar bukannya melatah dengan membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan melulu. 

“Malah, penjelasan serupa oleh Pemuda UMNO turut dituntut oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob sebagaimana disiarkan di Utusan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...