Mujahid Tepis Dakwaan Syiah Disebar Di Parlimen

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menepis dakwaan kunjungan delegasi Iran ke bangunan Parlimen bertujuan menyebarkan fahaman Syiah.

Tegas beliau, kunjungan delegasi Iran ke Bangunan Parlimen tidak menggambarkan Malaysia juga menerima ajaran Syiah.

“Saya fikir kalau ada pengikut fahaman Syiah masuk Parlimen nak lawat apa masalah? Duta Iran sudah beberapa kali datang. Kalau begini, Duta Iran lawat istana untuk kunjungi raja, maka maknanya Syiah masuk istana?

“Saya rasa kunjungan seperti ini tidak ada isu. Apa salahnya kalau mereka (delegasi Iran) datang ke Parlimen, itu tidak menjadikan kita Syiah hanya kerana ada orang Syiah (berkunjung),” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 4 Julai lalu, akaun Facebook rasmi Parlimen Malaysia berkongsi beberapa keping gambar kunjungan delegasi Iran mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof.

Susulan hantaran itu, akaun Facebook Gerakan Anti-Syiah menulis “Semakin rancak Syiah sampai singgah masuk Parlimen” dan perkongsian itu tular di media sosial.

Dalam pada itu, Mujahid menyatakan beliau tidak ada maklumat berhubungan pertemuan antara Speaker Dewan Rakyat dan delegasi Iran tersebut.

“Saya tidak ada maklumat, saya tak tahu. Saya tidak berjumpa (delegasi Iran),” ujarnya. – Sinar Harian

Loading...