Muhyiddin, Zahid Nafi Tandatangan Akuan Sumpah Anwar Jadi PM

SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau telah menandatangani satu dokumen akuan bersumpah mengenai peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular di media sosial hari ini.

Katanya, dokumen tersebut adalah palsu dan beliau telah meminta polis untuk menyiasat perkara itu yang bertujuan mahu mencemarkan nama baiknya.

“Saya telah meminta pihak polis supaya menyiasat penularan dokumen palsu ini yang saya fikir adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan beliau juga telah menandatangani dokumen berkenaan dan menganggap ia satu fitnah jahat.

“Saya tidak menandatangani surat berkenaan. Ini merupakan fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO.

“Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu,” katanya. – Sinar harian