Muhyiddin Umum Pelan Pemulihan Negara Petang Ini

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan Pelan Pemulihan Negara dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung, petang ini.

Pelan berkenaan bakal menggariskan jalan keluar bagi negara daripada pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini, yang turut memberi kesan terhadap kehidupan rakyat.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, pelan itu sudah disusun sehingga ke peringkat negara mencapai imuniti kelompok.

Beliau yang dilaporkan media sebelum ini, berkata ia bersandarkan data serta sains yang diperoleh daripada sudut pengurusan pandemik, ekonomi dan vaksinasi negara.

Rancangan kerajaan dalam sektor kesihatan negara termasuk proses vaksinasi bagi mendapatkan imuniti kelompok, dijangka perkara yang menjadi tumpuan dalam pelan berkenaan.

Selain itu, pihak industri dan komuniti perniagaan juga dilihat berharap ada rancangan khusus dan kukuh dalam pelan dalam pemulihan ekonomi negara, termasuk perlanjutan moratorium serta geran atau bantuan untuk usahawan kecil sederhana (PKS) meneruskan proses pendigitalan perusahaan.

Rakyat secara keseluruhan juga mengharapkan ada berita gembira termasuk bantuan tertentu selain jika ada perancangan khusus yang membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti sebelum negara dilandai badai COVID-19. – BH Online