Muhyiddin Umum 3 Langkah Penangguhan Institusi Kewangan

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengumumkan tiga langkah penangguhan membabitkan institusi kewangan dalam membantu rakyat yang berdepan kekangan ekonomi susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata, langkah berkenaan adalah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan membabitkan jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 bilion.

Katanya, kerajaan pada hari ini sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat, termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

“Saya sedar impak wabak Covid-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi PKP ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

“Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.

“Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, bermula 1 April ini, bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan PKS pada masa yang amat mencabar ini.

Beliau berkata, langkah kedua membabitkan pemegang kad kredit yang berdepan kekangan kewangan, yang boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka, dengan fleksibiliti penangguhan pembayaran balik itu boleh dimanfaatkan dari 1 April sehingga 31 Disember 2020.

“Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.

“Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya.

Muhyiddin berkata, jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 bilion susulan pengenalan tiga langkah berkenaan amat bermakna.

Beliau turut berterima kasih dengan keprihatinan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta industri perbankan di negara ini.

Pada masa sama, katanya, kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat dan satu lagi pelan rangsangan ekonomi yang lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat dan ekonomi negara, yang akan dilancarkan tidak lama lagi, seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya, beliau juga sudah meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman tiga langkah penangguhan itu dengan lebih mendalam agar manfaatnya dapat difahami sepenuhnya oleh rakyat. – myMetro Online

Loading...