Muhyiddin Ucap Selamat Hari Sarawak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada semua rakyat  Bumi Kenyalang.

Beliau berkata seluruh rakyat menyambut Hari Sarawak untuk mengingati jasa dan pengorbanan pemimpin serta pejuang kemerdekaan negeri itu.

“Perpaduan nasional adalah elemen penting dalam melahirkan sebuah negara yang aman dan stabil. Usaha menyatupadukan rakyat menerusi pengukuhan integrasi kaum di negara ini telah dimulakan sejak sekian lama.

“Dalam konteks Sarawak, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk meneruskan agenda ini bagi memastikan pembangunan dan kemajuan negeri Bumi Kenyalang ini,” katanya dalam catatan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurut perdana menteri, Sarawak adalah antara negeri yang sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan PN dalam apa juga program pembangunan, terutama bagi merapatkan jurang ekonomi antara wilayah di negeri itu.

“Ini selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif di semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah,” katanya.

Dalam catatan itu,  Muhyiddin turut memaklumkan beliau sempat meraikan sambutan Hari Sarawak bersama Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam jamuan tengah hari di bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Sambutan Hari Sarawak 2020 bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’ akan diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial dari Miri hari ini.

Kerajaan negeri menetapkan Hari Sarawak disambut setiap 22 Julai bermula 2016 dan diwartakan sebagai hari cuti umum bagi memperingati tarikh penyerahan pentadbiran negeri kepada rakyat tempatan oleh gabenor kerajaan Inggeris terakhir Sir Alexander Waddell pada 1963. – BERNAMA 

Loading...