Muhyiddin Temui Pemimpin Utama BERSATU Di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yasin, memanggil beberapa pemimpin termasuk menteri daripada parti itu ke pejabatnya di Putrajaya, petang ini.

Sumber parti itu yang dihubungi mengesahkan, pertemuan itu antara lain bagi membincangkan berkenaan kemelut Menteri Besar Perak selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya, pagi tadi.

Ahmad Faizal adalah Timbalan Presiden BERSATU ketika ini.

“Ya..ada mesyuarat petang ini. PM (Perdana Menteri) panggil termasuk menteri BERSATU,” katanya tidak dapat menjelaskan intipati mesyuarat berkenaan yang diadakan selepas selesai mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Difahamkan, antara yang hadir dalam pertemuan itu, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof juga antara yang hadir selain beberapa pimpin BERSATU lain.

Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, tengahari tadi memaklumkan parti itu akan mengadakan perbincangan khas berhubung kemelut baru yang melanda politik Perak membabitkan Menteri Besar mereka.

“Perkara ini insya Allah akan dibincangkan pimpinan BERSATU dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti,” katanya dalam satu entri di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Faizal hari ini gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya. 

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Beliau dijadual mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, petang ini. – BH Online