Muhyiddin Lancar Lembah Herba Wilayah Trolak

TAPAH – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Lembah Herba Wilayah Trolak dengan fasa pertama melibatkan lima tanah rancangan di zon Trolak iaitu Trolak Utara, Trolak Selatan, Trolak Timur, Sungai Klah dan Sungai Behrang meliputi kawasan seluas 59.24 hektar.

Pelancaran itu dilakukan bersempena sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Sungkai di sini.

Pada majlis itu, Muhyiddin diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup; Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Terdahulu dalam ucapan perasmian Hari Peneroka Felda 2020, Muhyiddin berkata Lembah Herba yang menjadi sebahagian daripada Program Pembangunan Peneroka akan dilaksanakan di lima tanah rancangan Felda Wilayah Trolak. 

“Pasaran juga telah tersedia dengan adanya dua syarikat yang telah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Seksyen Usahawan, Jabatan Pembangunan Peneroka dan Komuniti Felda Wilayah Trolak, Mohd Izwan Hafiz Mohd Arshad berkata idea mewujudkan Lembah Herba Wilayah Trolak tercetus kerana zon Trolak mempunyai pelbagai tanaman herba seperti pokok gaharu, belalai gajah dan misai kucing yang boleh diusahakan secara komersial oleh peneroka.

Katanya bagi fasa pertama, sebanyak 250 keluarga dipilih untuk menyertai fertigasi pintar di bawah program Lembah Herba Wilayah Trolak.

Seorang peserta Laman Herba Wilayah Trolak, Muhd Hamiz Juremi yang mengusahakan kacang sacha inchi (sacha seeds) sejak 2018 berkata tanaman itu mampu menghasilkan minyak omega yang memberi manfaat untuk kesihatan jantung serta produk lain seperti sabun dan teh. 

“Produk kacang sacha inchi boleh membantu pengusaha meningkatkan pendapatan seiring dengan harapan Felda yang boleh diumpamakan sebagai ‘lombong emas’,” katanya yang mengusahakan ladang seluas 0.8 hektar dengan 500 pokok kacang berkenaan. – BERNAMA

Loading...