Muhyiddin, Kabinet UMNO Bincang Kedudukan Dalam Kerajaan

KUALA LUMPUR – Pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama anggota Kabinet dari UMNO di Putrajaya semalam dipercayai hanya menjurus kepada perbincangan kedudukan parti itu di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini. 

Selain perbincangan itu, ia juga menyentuh ketetapan dibuat UMNO di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berakhir kelmarin.

Sumber berkata, antara lain yang disentuh mengenai pilihan raya yang perlu diadakan segera sebaik tamat proklamasi darurat pada Ogos depan.

“Bagaimanapun, ia tidak menyentuh isu peletakan jawatan semua anggota kabinet dari UMNO yang sebelum ini dikatakan akan dibuat dalam waktu terdekat,” katanya.

PAU 2020 yang berakhir kelmarin membuat keputusan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti diadakan selepas tempoh darurat tamat sama ada pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya, jika darurat ditamatkan lebih awal.

Presiden UUMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam masa terdekat.

Seramai 14 ahli parlimen UMNO berada di dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) manakala enam yang lain dilantik Timbalan Menteri. – myMetro Online