Muhyiddin Dipecat Kerana Persoal 1MDB – Ali Hamsa

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas beliau membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada tahun 2015.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, 64, berkata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail juga dipecat dari jawatannya pada Julai 2015 disebabkan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah hilang keyakinan terhadap ketua penasihat undang-undangnya.

Ali semasa menjelaskan perkara itu berkata, Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu lantang bersuara di dalam Kabinet sebelum beliau dipecat.

“Apabila duduk dalam mesyuarat Kabinet, kami dapat lihat ada perbalahan, kebanyakannya dari satu pihak sahaja, Muhyiddin yang membangkitkan banyak persoalan dalam Kabinet, kami tahu ada sesuatu yang dibangkitkan,” katanya.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal oleh ketua pendakwaan, Datuk Seri Gopal Ram di hari kedua perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Ditanya reaksi tertuduh terhadap semua soalan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin, saksi itu berkata, Najib kelihatan tenang semasa mesyuarat Kabinet dan ada sesetengah soalan dijawabnya, dan sesetengahnya dijawab oleh Menteri Kewangan Kedua.

Ditanya apa terjadi kepada Muhyiddin selepas beliau bertanya semua soalan-soalan itu, Ali berkata “Saya rasa beliau dipecat dari jawatannya.”

Sri Ram: Anda (ketika itu) adalah Ketua Setiausaha kepada Kabinet.. kepada negara.. kepada kerajaan. Anda memberi bukti bahawa Muhyiddin bertanyakan soalan berhubung 1MDB di dalam Kabinet dan jawapan juga telah diberikan. Anda juga sebentar tadi berkata dia (Muhyiddin) dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, adakah anda mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai fakta-fakta yang berkaitan pemecatan itu?

Ali: Kenyataannya, dan juga pemecatan itu.. ia di luar pengetahuan saya kerana ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri (Najib).

Semasa diminta memberi penjelasan mengenai suasana keadaan semasa Abdul Gani meninggalkan pejabatnya, saksi itu berkata, “Perdana Menteri telah hilang keyakinan terhadapnya.”

“Sebenarnya selepas saya menyerahkan surat kepada Gani Patail, dan beritahu dia dipecat dari jawatan Peguam Negara, katanya beliau sudah menjangka ia akan berlaku. Ada dua peringkat proses bagi memecat Abdul Gani. Pertama surat kepada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan mengenai pemecatan itu, dan diikuti dengan sepucuk surat dari Najib yang dialamatkan kepada Abdul Gani bagi memaklumkan mengenai pemecatannya.

“Saya dipanggil oleh Najib untuk menandatangani surat itu dan memberikannya kepada Abdul Gani, dan diarah memberitahunya mengenai pemecatan, di samping melarang beliau daripada membawa apa-apa dokumen keluar dari pejabat,” katanya.

Sri Ram: Tahukah anda apa yang mendorong kepada hilang keyakinan (terhadap Abdul Gani) itu?

Ali: Pada masa itu ada beberapa isu berhubung Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin. Saya dimaklumkan oleh Najib bahawa Abdul Gani dan Muhyiddin bertemu di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur. Itu mungkin sesuatu yang boleh menjadi isu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Gani dikatakan sedang menyediakan pertuduhan berkaitan 1MDB, sebelum beliau digantikan pada 2015.

Semasa ditanya apa yang berlaku kepada bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasssim Mohamed, saksi itu berkata, Abu Kassim berhasrat untuk berhenti pada Ogos 2016 selepas mengalami masalah sakit belakang.

Najib, 66, diwakili oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Loading...