Muhyiddin Ambil Alih Kerajaan ‘Tak Kena Pada Masa’

PUTRAJAYA – Keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran negara pada saat wabak koronavirus (Covid-19) diisytiharkan pandemik disifatkan ‘tidak kena pada masa’ kerana negara sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan krisis ekonomi global.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak yakin dengan kemampuan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin memacu kembali pemulihan kembali pada tahap sepatutnya.

“Negara ini sebenarnya tidak pernah berdepan keadaan (ekonomi seperti ini),” katanya dalam satu wawancara khas bersama wartawan stesen penyiaran antarabangsa Bloomberg, Haslinda Amin di sini hari ini.

Menerusi laporan disiarkan Bloomberg, Ahli Parlimen Langkawi itu menjangkakan wabak Covid-19 akan memberi kesan kemelesetan ekonomi lebih teruk daripada krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Dr Mahathir yang mengepalai kejayaan Malaysia memulihkan ekonomi daripada kesan krisis kewangan Asia pada tahun 1997 turut berpendapat situasi Covid-19 benar-benar memberi tamparan hebat kepada kedudukan ekonomi di seluruh dunia.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, beliau kini menyertai beberapa pemimpin dunia yang memberi amaran kesan virus Covid-19 bakal memberi impak lebih dahsyat berbanding krisis ekonomi dunia pada masa lepas.

Bulan ini, Presiden Bank Berpusat Eropah, Christine Lagarde memberi amaran kejatuhan ekonomi bakal dirasai ketika ini mungkin hampir sama dengan krisis kewangan global tahun 2008 manakala Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menjangkakan keadaan lebih teruk.

Krisis ekonomi tahun 1997 menyebabkan kejatuhan besar-besaran kedudukan kewangan dan politik di seluruh Asia dengan jutaan manusia terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan disebabkan kejatuhan nilai mata wang dan ekonomi, selain tumbangan beberapa kerajaan di seluruh benua.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya mencatatkan pencapaian relatif lebih baik apabila pertumbuhan ekonomi negara kembali meningkat dalam tempoh setahun sahaja.

Dr Mahathir yang berusia 94 tahun itu juga merupakan pemimpin negara paling lama berkhidmat turut menganggap tindakan mengikat kadar mata wang sebagaimana dilakukannya bagi menghadapi krisis kewangan Asia tahun 1998 tidak akan membantu menyelesaikan kemelut ekonomi ketika ini.

“Ketika ini, tahap keyakinan pelabur bukan sahaja sangat rendah untuk melabur di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

“Ini kerana sekiranya anda melabur dan tidak boleh menjual kembali (saham pelaburan), lebih baik anda tidak payah melabur,” katanya. – Sinar Harian

Loading...